TAHUKAH kita sesuatu yang bernilai
dalam diri manusia ialah perasaan dan emosi, bukan hanya akal yang waras
sahaja. Jika emosinya positif dan halus akan menzahirkan tindakan serta tingkah
laku yang baik dan terpuji. Setiap manusia sukakan pujian dan kata-kata yang
baik terhadap dirinya dan orang lain.
Kata-kata yang baik itu walaupun
‘simple’ , mampu mengukir senyuman dan kegembiraan pada seseorang. Begitu juga
sebaliknya, apabila kata-kata nista dan cacian kesat dihambur akan menyakitkan
hati seseorang dan turut mengeruhkan emosi penuturnya.
Jangan sesekali menganggap bahawa
gangguan kecil itu tidak perlu diberi perhatian, bayangkan bunyi lalat atau
nyamuk di teliga kita ketika sedang tidur boleh menyebabkan kita marah dan
terganggu emosi, sama seperti mana penggunaan kata-kata dalam pertuturan.
Allah SWT memerintah umat manusia
baik dalam bicaranya, firmannya “dan berbicaralah dengan manusia dengan bicara
yang elok”. Para ahli tafsir menyatakan bicara yang baik itu dapat diukur
dengan 4 perkara;
(1) pemilihan kata yang baik,
(2) intonasi yang sesuai,
(3) kandungan yang sesuai serta
(4) sebutan yang jelas dan betul.
Kenapa agama Islam memandu umatnya
dalam kehidupan sehinggakan pada perkara-perkara yang kecil?
Pastinya kerana pertuturan adalah
salah satu perkara yang boleh menyebabkan manusia lain merasa gembira atau
sebaliknya. Malah kesan dari pertuturan itu juga menimpa si penuturnya, jika
baik kata-katanya baiklah kesan yang diterima dan jika sebaliknya buruk jugalah
kesan kepada si penutur.
Mengkritik pada asasnya adalah salah
satu cara untuk menyedarkan kesilapan seseorang dari kealpaan diri dan
kesalahan yang dilakukan. Namun jika mengkritik dilakukan secara terbuka dan
setiap masa dalam semua keadaan, ianya akan bertukar menjadi barah yang memakan
segala kebaikan yang ada dalam diri pengkritik terlebih dahulu dan kemudian
kesan buruk itu akan menjalar dalam hubungan sesama manusia.
Adalah perlu berhati-hati ketika
ingin mengkritik seseorang kerana pengabaian terhadap adab mengkritik boleh
menyebabkan kesan buruk kepada pengkritik dan masyarakat umumnya.
Terdapat empat perkara perlu diberi
perhatian ketika seseorang itu ingin mengkritik orang lain;
(1) niat yang baik,
(2) cara kritikan itu dilakukan,
(3) persepsi pengkritik terhadap
orang yang dikritik,
(4) kesan dari kritikan.
Jika semua itu telah dipertimbangkan
dengan baik dan dilakukan secara berhemah, insya Allah hasilnya adalah positif
dan membawa kebaikan bersama.
Sebaliknya jika seseorang itu
mengkritik dengan tujuan membuka aib dan kelemahan orang lain, penuh dengan rasa
dengki kesumat di dalam hati serta ingin mencapai matlamat politik atau apa-apa
tujuan jahat disebalik krtitikan itu, pastinya perbuatan yang asalnya baik itu
akan dimurkai oleh Allah SWT dan kesannya amatlah buruk terhadap diri
pengkritik dan juga masyarakat.
Antara kesan buruk terhadap
pengkritik ialah
(1) sentiasa hidup dalam keadaan
resah dan panas hati,
(2) suka mencari kelemahan dan
kesilapan orang lain,
(3) setiap kali berbicara penuh
dengan tohmahan, reka cerita dan tokok tambah cerita,
(4) hatinya gelap kerana sentiasa
berburuk sangak dengan orang lain, dan
(5) hilang harga diri di hadapan
rakan taulan.
Terdapat sesetengah kelompok ahli
politik atau kumpulan tertentu yang mana kemahiran mengkritik mereka sampai ke
tahap yang memalukan. Mereka begitu mahir mengunakan bahasa, mimik muka,
intonasi suara, gerak badan dan ingatan mereka amat kuat mengenai kesalahan
seseorang atau pihak yang dibencinya walaupun kadangkala orang biasa tidak
perasan tentang kesilapan itu.
Mereka ini amat lancang bila mengkritik
sehinggakan kita dapat merasai bahawa hatinya amat hitam dan langsung tiada
belas kasihan serta berbaik sangka terhadap orang lain. Apapun baik yang
dilakukan oleh pihak atau seseorang yang dia benci sesekali tidak akan
kelihatan baik walaupun kebaikan itu nyata seterang mentari.
Situasi ini sedang parah berlaku
dalam masyarakat kita hari ini. Dengan kemajuan teknologi yang sepatutnya
menjadikan masyarakat lebih santun dan bertimbang rasa bertukar menjadi suatu
yang mengerunkan.
Masyarakat umum (netizen) di negara
kita begitu lancang mengkritik apa sagaja yang dipaparkan dalam media sosial
walaupun mereka tidak tahu menahu mengenai perkara yang mereka kritik. Itu
sebanarnya mengambarkan apa yang ada dalam hati sanubari masyarakat kita pada
hari ini.
Saya mengajak semua ahli masyarakat
kita untuk menyedari bahawa setiap tutur kata yang kita lafazkan atau setiap
komen yang diberikan di mana-mana media sosial akan ditulis serta akan
dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti. Firman Allah SWT “apa sahaja yang
kamu pertuturkan akan dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid”. Selain itu, kita
juga harus melatih diri agar dapat menerima pandangan perbezaan dan kelainan.
Kebenaran bukanlah sesuatu yang
statik dan diukur berdasarkan sudut pandang kita sahaja. Adakala kebenaran itu
adalah berbagai bentuk dan ia adalah benar seperti yang kita pandang namun apa
yang orang lain pandang juga adalah benar.
Adakala kritikan yang kita sangkakan
perbuatan baik itu tidak lebih dari sebuah umpatan yang mengambarkan diri sebagai
seorang yang penakut hanya berani berbicara mengenai orang lain ketika
ketiadaannya. Atau ia juga mungkin sebuah lakonan yang disengajakan untuk
menutup kelemahan diri berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh orang
yang dikritik itu. Pastinya tindakan melampau itu adalah satu yang jelek.
Tindakan melampau dalam beragama akan
memberi kesan buruk kepada imej agama. Oleh itu, berpada-padalah ketika
mengkritik orang lain, pelakuan sama boleh dilakukan kepada kita. Sebarkanlah
kebaikan dan sikap positif dalam kehidupan kerana kesan baik darinya akan
diperoleh oleh kita terlebih dahulu sebelum orang lain.
Terimakasih Dr.