Aku dan Bazar Ramadan 6

 

Hidup kita satu perjalanan. Perjalanan untuk meraih redhaNya. Usah lelah. Sebaik lahir ke dunia ini kembara kita bermula.

Jangan sesekali ragu dengan diri sendiri. Rempuh jangan rapuh. Ketidakyakinan pada kebolehan diri ada racun perosak yang sangat berbisa.

Rancang hidup kita. Ada mehnah, sukar dan sulit,  usaha cari jalan keluar, bukan sekadar  dengan sabar, ‘upgrade’ sabar kita, dengan sabar yang dinamik. Kesabaran yang tiada titik noktah.

 Kehidupan sebagai siswa bahkan siapapun kita bukan sesuatu yang mudah. Hidup ini keras untuk orang-orang biasa macam aku ni.

 Dan kita sekadar berada di posisi berusaha bukan di posisi menentukan. Jiwa kena kental. Harung apa sahaja cabaran. Penuh dedikasi. Tekun.

 Cuti semester yang panjang jarang aku balik kampung. Aku berkelana di sekitar Lembah Klang. Balik kampung bukan pilihan bagi orang seperti aku. Semestinya aku kena berkerja.

‘Store keeper’

‘Parking attendance’,

Operator kilang

Pembantu kedai makan

Bahkan tukang sapu.

‘Tak malu ke awak buat kerja-kerja begitu, bukankah awak pelajar U’? Tanya gadis soya suatu ketika.

‘Awak, biarpun ada yang memandang kerja-kerja sebegitu sebagai ‘sampah’.  Kita kena ingat betul-betul, bahawa hidup kita ni tidak ditentukan oleh cacian, makian orang. Biarkan mereka.’

Sebesar mana  sekali pun penghinaan orang terhadap kita, tutup mulut, pekakkan telinga, dan hati kena kering. Jalan terus. Move on.

Aku tahu aku bekerja untuk aku, bukan untuk mereka yang bermulut tempayan itu.

Panjang lebar bicaraku kepada gadis soya, bahkan lebih panjang dari itu aku mampu.

Lama kami berbual petang yang damai itu. Tidak sedar masa berlalu.

 Seketika dia, gadis soya diam. Aku juga begitu.

Hari beransur senja, kami masing-masing balik ke destinasi berbeza. Bilakah detik masa untuk kami pulang bersama ke tempat yang sama?

Tiada kepastian yang nyata. Hanya takdir yang akan menentukan.

Menanti, aku akan terus menanti. Detik waktu terkadang terlalu lambat bagi mereka yang menunggu, terlalu lama bagi mereka yang kecewa, dan terlalu singkat bagi mereka yang bahagia.

Menanti biar sampai akhir hayat ku di dunia ini, khas untuk mu gadis soya.

Aku dan Bazar Ramadan 5

Melengkapkan fasa kehidupan, kembara ilmu bermula.
Pesan ibu menjadi keramat, penguat saat longlai, Tuhan bersama kita selama mana kita tak lupakan Dia.
Kepayahan yang datang bukan datang kepadamu tetapi datang untuk dirimu. Janji Tuhan, bersama kesulitan ada kemudahan.
Kesukaran datang mengajar dirimu menjadi lebih matang.
Tadah tanganmu ke langit-Nya. Ingat setiap tangan yang menadah ke langit, tidak akan pernah kembali dalam keadaan kosong. Makbul tidak makbul doa kita, itu adalah rahsia Allah. Paling penting jangan pernah jemu berdoa, Allah tak pernah jemu mendengar suara kita ketika mengadu dan merintih.
Berpuasa di perantauan menggamit seribu rindu, rindu yang bertamu setiap waktu memenuhi ruang kalbu. Rindu air tangan ibu.
Masakan ibu selalu tidak pernah mengecewakan, tidak pernah tawar tidak pernah masin. Sempurna.
Ibu mohon sediakan hidangan itu lagi dan lagi untuk aku apabila aku pulang ke rumah, kerana aku tidak dapat mencari rasa yang sama seperti ketika aku menikmati masakan mu. Unik. Tiada duanya. Tiada taranya. Dan kini tiada lagi, yang tinggal cuma bingkai-bingkai kenangan rindu yang tak pernah padam.
Pilihan yang ada hanya bazar ramadan, di situ aku bertemu gadis soya. Makanan menepati atau tidak selera soal kedua, telan sajalah. Harganya pula asal berpatutan dengan status pelajar, kira jadi.
Menu rahmah ke menu rahmatullah ke, itu tidak penting. Lagi pula menu rahmah tu bukan paksaan, cuma pilihan, inisiatif, ada yang nak persoal tapi tak faham.
Ada akal tak nak fikir, otak dipajak kepada pemimpin, adoii. Pemimpin pun IQ tiga suku, bodoh tak bertempat. Dasar pajak otak. mmm biarkan lah mereka Mat bisik aku sendiri.
Pada masa itu tiada media sosial untuk kecam penjual yang nakal atau mungkin generasi tersebut lebih santun, aku tak pasti.
'Datang tau, mak berniaga macam biasa'.. masih jelas kedengaran suara itu. Aduh!!! wang di saku RM 5 cuma.
Dompet pula tak pernah berisi, habuk pun tiada, begitulah kita ni kalau dah miskin melarat, lalat pun tak nak hinggap. Ahhhhh... siang masih panjang tapi aku kelam..
Sabar je lah. Balasan untuk sabar itu bukan berlian, bukan intan, bukan zamrud, jauh sekali emas permata, tapi syurga!. Jika syurga ganjarannya apa lagi alasan yang menghalang untuk terus bersabar dan bertahan.

Aku dan Bazar Ramadan 4

Bang’, sapanya sopan, dan halus,

Selembut bak sehalus sutera.
Akan tetapi getar suaranya cukup untuk mengoncang seluruh rasaku.
Menusuk.
Tepat ke jantung, terus ke tulang hitam.
Lantas tulang rusuk bergetaran…
Apakah ini jodoh???
‘ya saya, awak panggil saya’, sahutku seolah berbisik menahan debaran di dada.
Rembesan adrenalin mengalir laju ke dalam darah membuatkan suaraku antara kedengaran dan tidak.
‘Ada apa ye?’ kali ni lebih bertenaga.
Aku melihat senyumannya cukup manis.
Manis bagai gula derawa,
Tersenyum simpul di atas pelamin
Sepadan aku dan dia. Cewah!!!!
Aku berilusi sendiri
Bila mata bertentang mata,
Hati gementar tak terduga.
‘Datang tau petang nanti, mak berniaga macam biasa’
Mak??? Bisikku. Ahh!!! bukankah sebelum ni mak cik, apakah….
Aku antara keliru dan yakin.
‘Baik, baik’, spontan tapi tegas lafaz aku.
Kalau begitu bagai di kata,
Tunggu hamba datang menyapa.
Dia, gadis soya berlalu, melirikkan mata, melempar senyuman, lantas menjemput angau ku datang lagi. Adooiiii.
Gadis soya, nantikan aku di bazar ramadan. Tunggu.
Nantikan detik peristiwa di bazar ramadan.
Apa kata mak gadis soya???
Jarum waktu seakan berhenti, Panjang masa menunggu petang tiba.

Aku dan Bazar Ramadan 3


Aku dilahirkan di tengah-tengah keluarga yang besar, 8 adik beradik, kami agak tidak bernasib baik, ayah kembali mengadap Tuhan Maha Pencipta pada ketika aku mencecah 10 tahun dengan adik bongsu tidak setahun usianya.
Mungkin ada dalam kalangan kita pernah berdepan dengan rasa dan suasana tidak tenang yang keterlaluan akibat kerisauan dan ketakutan terhadap perkara-perkara yang tidak pasti. Semua persoalan yang pernah menerjah hidup kita atau yang bakal mendatang seperti tiada noktah terakhir.
Terkadang hilang harapan dalam perjalanan mengemudi hidup yang pelbagai rencam ujian dan cabarannya. Kehilangan ayah tempat mencurah kasih di awal usia kehidupan seakan satu titik ngeri buat aku. Di bahu ibu aku bersandar dan mencari kekuatan. Aku berjanji akan memberikan yang terbaik buat ibu, agar kelak ibu tersenyum bahagia melihat aku memenuhi harapanmu ibu.
Sepanjang ramadan, arwah mek (Moga mek dan ayah tenang di sana, Ya Allah ampunilah dan rahmatilah mereka dan semua muslimin dan muslimat) akan sedaya upaya menyediakan hidangan yang terbaik buat kami 8 adik beradik. Pelbagai menu, hidangan yang sangat meriah dan menyelerakan, tersedia sempurna saat berbuka, semuanya air tangan ibu.
Sentuhan tangan dari hati seorang ibu untuk ‘santapan’ anak-anaknya. Pun begitu ada-ada sahaja kelaku aku sebagai anak yang menghiris rasa ibu. Ibu maafkanlah kata-kata yang pernah terucap oleh bibirku, anakmu yang terkadang terlalu banyak menyakiti perasaanmu ibu, aku sungguh tidak mampu untuk melihatmu sedih dek kerana kelakuanku. Namum seringkali terlanjur jua.
Dengan sentuhan air tangan ibu, kami membesar dan dewasa.
Terima kasih mek. Mek, sesungguhnya aku menyayangimu sampai akhir hidupku, meski aku tau aku selalu mengecewakanmu. Maafkan aku yang tidak mampu membuatmu bahagia sehingga ke hujung usia mu. Moga di jannah tempat mu ibu. Aamiin.
Nampaknya gadis soya masih belum muncul… sungguh malang

Aku dan Bazar Ramadan 2


Jeng-jeng….. hero bazar ramadan kembali lagi. Pelbagai cerita sama ada yang positif atau sisi gelap tentang bazar ramadan. Aku melihat, mendengar dan meneliti dari pelbagai sudut pandang.
Jauhi ketaksuban walaupun dalam hal nampak remeh seperti bazar ramadan. Sikap fanatik dan taksub telah membutakan mata banyak pihak dalam membuat penilaian yang betul. Justeru itu Al-Quran melarang sikap sebegini dan menyuruh umat ini bersikap adil dan sederhana dalam semua keadaan.
Zaman kecilku, bazar ramadan ni boleh dikatakan tiada, yang ada cuma gerai-gerai. Rasanya tak pernah pun aku menjejakkan kaki ke situ. Waktu petang sekira-kira selepas asar aku cuma ke kedai untuk membeli ketul ais yang dipotong dengan gergaji. Ais tersebut ditabur dengan habuk gergaji/kayu rasanya.
Ada seorang jiran di kampung, di belakang rumah mek, berjual lauk pauk, Mok Su panggilan kami kepadanya. Mok su ni kawan baik arwah mek. Baru-baru ini dia kemalangan, aku sempat berziarah semasa dia di Hospital Selayang.
Bersambung lagi.... heroin bakal muncul di episod akan datang... siapakah gadis soya? Mengapa dia berjual soya? Bagaimana nasib aku dgn gadis soya...adakah jodoh menghampiri..🥰🥰🥰

Aku dan Bazar Ramadan 1

Isu itu datang, isu ini pergi. Macam kekasih pula ye hehehehe, silih berganti, tapi itu cerita dulu-dulu le, sekarang setia pada yang satu, hingga ke hujung nyawa, Insya Allah, tapi kalau ada jodoh apa boleh buat, terimalah seadanya kan, bak kata jiran sebelah jodoh jangan ditolak, itu kegemaran kaum lelaki anggun. Bab ni aku tak campur ye.

Ada isu yang panas hangat membakar emosi, meranap jiwa, mencalar ukhwah. Pun begitu panas hangat, seketika cuma, masa berlalu sejuklah ia ditelan masa. Sungguh malang mereka yang suka dan gemar bergerak lentok bersama isu, diulas tanpa ilmu, tanpa wibawa, dibahas secukup rasa terkadang hingga hilang pertimbangan dosa pahala.

Aku nak juga memanaskan medsos dengan isu bazar ni walaupun aku bukanlah ada ‘chemistry’ dengan bazar ramadan ni. Ada le sikit-sikit ‘sweet moment’ dengan gadis penjual air soya, hehehehe, Nak tau kenapa?….Dia panggil aku abang tau.. Cis!!!! Bodoh, perasan giler engkau Mat, itu ayat pelaris, maki kawan aku…adoii… aku ni dah le ada penyakit. Penyakit mudah jatuh cinta gitu…I love you too…
Bersambung ye saudara-saudara…. Tunggu next episode, hero bazar Ramadan akan datang dengan penuh bergaya. Gaya manja ye…bye-bye