Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 16

Kita adalah apa yang kita percaya. Kita tidak sempurna. Ada titik lemah masing-masing. Hidup kita bukan untuk saling mencari kelemahan dan cacat cela, tapi untuk saling memperbaiki dan menutup kekurangan masing-masing. 

Untuk kita tampil sempurna, itu sangat sukar. Terima seadanya. Terima dengan lapang dada bahawa di sini aku diperlukan. Biarlah kisah dan cerita lama berlalu pergi. Jauh. 

Setiap luka ada kisah yang istimewa. Mahal harganya. Daripada kisah yang luka kita belajar menerima. Menerima bahawa kita adalah makhluk yang lemah, menerima kebesaran Dia, Maha Pencipta. “Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”

Hindari kecewa dan putus asa.

“Ahhh! Penat betul hari ni”. Getus hatiku sambil melabuhkan punggung di sofa bilik guru. Hari pertama persekolahan selepas cuti penggal. 

Rehat sekejap. Aku membelek-buku buku rancangan mengajar untuk melihat jadual waktu peribadi.

“Oh, jam 10.40 pagi, selepas rehat kelas 5K”. Ada sedikit masa untuk melepaskan lelah. 

“Cikgu” 

“Ya saya, ada apa ustazah?, Ada pelajar buat hal ke?” Aku sedikit terkejut. 

“Tak, mak jemput ke rumah” 

“Hah!!!!” Aku kehilangan kata-kata. 

 Setiap kita ada cerita sendiri. 

 Cerita suka, cerita duka.
 Cerita bahagia, cerita sengsara. 

Daripada cerita kita, kita belajar. Belajar mencari jawapan dari cerita kita. Jawapannya ada pada diri kita. 

Kita sendiri yang memilih dan menentukan apa yang kita mahu. Kita belajar dari rencam dan pelbagai cerita kita. Tiada noktah dalam pembelajaran. Kita tidak boleh berhenti belajar. Belajar untuk bertabah menghadapi ujian, mehnah, cubaan. Tabah bersama rintangan, belajar dari keruntuhan.

“Baiklah” Aku gugup. Lidah kelu untuk terus berkata. Ustazah, gadis pekan sari berlalu.

Aku termanggu-manggu di sofa. Bilik guru yang biasanya riuh rendah dengan usik mengusik dan cerita yang entah apa-apa, tiba-tiba hari ini menjadi sepi. Sunyi. 

Aku melepaskan pandangan keluar melalui pintu yang luas terbuka, seluas harapanku.

Aku melihat langit kebiruan. Tenang warna biru muda langit tinggi. Sedamai hari dan hatiku. 

Ustazah! tunggu aku akan hadir.