إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ كَانَتۡ لَهُمۡ جَنَّٰتُ ٱلۡفِرۡدَوۡسِ نُزُلًا


Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tinggal (yang serba mewah).


Memilih untuk beriman adalah keputusan terbesar yang dibuat dengan serius dan penuh kesedaran termasuk kesedaran tentang erti, implikasi dan tuntutannya. 

Ayat ini menjelaskan tentang proses yang perlu dilalui sebelum menerima balasan atau imbalan.

Mentaliti tidak mahu bersusah payah memang tumbuh segar dalam diri kita. Idealisme ukhrawi menjadi lesu dan layu dalam ghairah dan serakah nafsu terhadap nikmat segera materi duniawi.

Iman yang tulen tidak menjelmakan watak penakut, pemalas, jahat dan pelbagai sikap buruk.

Memang bukan kehendak Tuhan menghadiahkan kemenangan mudah. Justeru kemenangan mudah dan segera yang dihadiahkan tanpa susah payah kepada orang-orang yang berbudaya santai tidak akan meledakkan kekuatan terpendam dalam diri. 

Selain itu kemenangan segera dan mudah akan segera dan mudah pula hilangnya kerana ia dirasakan sebagai suatu yang murah yang diraih tanpa membayarnya dengan pengorbanan yang mahal.

Kemenangan segera dan mudah juga  tidak akan kekal lama kerana ia tidak akan mampu dipertahankan oleh mereka yang tidak terlatih dan teruji dalam hempas pulas proses perjuangan.

Dan anugerah teragung dan tak terbayangkan kita akan raih seperti ditegaskan di hujung ayat ini, disediakan bagi mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tinggal (yang serba mewah).


Kejayaan Bersyarat

 


Pahit getir dalam meraih kejayaan banyak menguji kekuatan dan kesabaran. Tanpa tabah perjuangan, seakan kemenangan tidak bermakna.
Setiap kegagalan adalah guru yang mengajar kita untuk bangkit lebih kuat, dan setiap luka adalah bukti bahawa kita tidak pernah menyerah.
Kejayaan yang mudah dimiliki seringkali tidak memberi kepuasan. Kejayaan yang ditempa dengan darah, peluh, dan air mata, akan mengukir kenangan manis yang tidak ternilai harganya.
Ingatlah, tidak ada jalan pintas menuju kejayaan; hanya melalui usaha yang gigih dan tekad yang tidak pernah luntur, kita akan merasai manisnya kemenangan.
Kita semua maklum bahawa berlian yang terbaik terhasil daripada dua perkara iaitu suhu tinggi dan tekanan yang kuat. Semakin tinggi suhu yang diterima, semakin tinggi tekanannya, jadi jika ia boleh bertahan, ia tidak akan musnah, ia sebenarnya akan bertukar menjadi berlian yang berkilauan yang tiada tandingannya. Keras. Teguh. Ia mahal.
Begitu juga dengan kehidupan, semua peristiwa perit yang kita alami, semakin dalam dan sedih perasaan itu, jika kita dapat bertahan, tidak hancur, maka kita akan berkembang menjadi seseorang yang berperwatakan seperti berlian. Keras. Teguh
Tahniah anakanda, abah dan umi tumpang berbangga dan semoga menjadi inspirasi buat adik.