إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ كَانَتۡ لَهُمۡ جَنَّٰتُ ٱلۡفِرۡدَوۡسِ نُزُلًا


Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tinggal (yang serba mewah).


Memilih untuk beriman adalah keputusan terbesar yang dibuat dengan serius dan penuh kesedaran termasuk kesedaran tentang erti, implikasi dan tuntutannya. 

Ayat ini menjelaskan tentang proses yang perlu dilalui sebelum menerima balasan atau imbalan.

Mentaliti tidak mahu bersusah payah memang tumbuh segar dalam diri kita. Idealisme ukhrawi menjadi lesu dan layu dalam ghairah dan serakah nafsu terhadap nikmat segera materi duniawi.

Iman yang tulen tidak menjelmakan watak penakut, pemalas, jahat dan pelbagai sikap buruk.

Memang bukan kehendak Tuhan menghadiahkan kemenangan mudah. Justeru kemenangan mudah dan segera yang dihadiahkan tanpa susah payah kepada orang-orang yang berbudaya santai tidak akan meledakkan kekuatan terpendam dalam diri. 

Selain itu kemenangan segera dan mudah akan segera dan mudah pula hilangnya kerana ia dirasakan sebagai suatu yang murah yang diraih tanpa membayarnya dengan pengorbanan yang mahal.

Kemenangan segera dan mudah juga  tidak akan kekal lama kerana ia tidak akan mampu dipertahankan oleh mereka yang tidak terlatih dan teruji dalam hempas pulas proses perjuangan.

Dan anugerah teragung dan tak terbayangkan kita akan raih seperti ditegaskan di hujung ayat ini, disediakan bagi mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tinggal (yang serba mewah).


Kejayaan Bersyarat

 


Pahit getir dalam meraih kejayaan banyak menguji kekuatan dan kesabaran. Tanpa tabah perjuangan, seakan kemenangan tidak bermakna.
Setiap kegagalan adalah guru yang mengajar kita untuk bangkit lebih kuat, dan setiap luka adalah bukti bahawa kita tidak pernah menyerah.
Kejayaan yang mudah dimiliki seringkali tidak memberi kepuasan. Kejayaan yang ditempa dengan darah, peluh, dan air mata, akan mengukir kenangan manis yang tidak ternilai harganya.
Ingatlah, tidak ada jalan pintas menuju kejayaan; hanya melalui usaha yang gigih dan tekad yang tidak pernah luntur, kita akan merasai manisnya kemenangan.
Kita semua maklum bahawa berlian yang terbaik terhasil daripada dua perkara iaitu suhu tinggi dan tekanan yang kuat. Semakin tinggi suhu yang diterima, semakin tinggi tekanannya, jadi jika ia boleh bertahan, ia tidak akan musnah, ia sebenarnya akan bertukar menjadi berlian yang berkilauan yang tiada tandingannya. Keras. Teguh. Ia mahal.
Begitu juga dengan kehidupan, semua peristiwa perit yang kita alami, semakin dalam dan sedih perasaan itu, jika kita dapat bertahan, tidak hancur, maka kita akan berkembang menjadi seseorang yang berperwatakan seperti berlian. Keras. Teguh
Tahniah anakanda, abah dan umi tumpang berbangga dan semoga menjadi inspirasi buat adik.


Ketidakstabilan politik kerap kali membuat mereka yang mahu berkuasa atau yang mahu mengekalkan kuasa menggunakan pelbagai cara bagi mencapai impian masing-masing.

Antara cara yang dibuat ialah menyelar tokoh-tokoh yang mereka musuhi dengan serangan keagamaan, bahawa tokoh-tokoh tersebut telah menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.

Dua

Belajar tapi tak berfikir, tersesat!

Berfikir tapi tak belajar, musibah!

Imam Malik -
Sesiapa yg sedar bahawa percakapannya hanya menunjuk2 kadar amalannya, maka kurangkanlah bercakap





Duit

Kata orang, duit tak boleh beli kebahagiaan... tetapi tidak bagi aku, dengan duit aku 'membeli' kebahagiaan melalui perkongsian bersama orang lain dengan penuh ikhlas tambah² dengan isteri nan seorang

Dengan duit - kita jalan², makan², belanja kawan, sedekah dan lain².



Khusyuk

Takdir diterima dengan penuh reda, moga-moga dengan reda berbuah tenang. Itulah pesan guru lama dulu dalam soal khusyuk. Selain dari reda menerima takdir, khusyuk juga membawa kita tunduk dengan merendah diri dan patuh menjalankan perintahNya.

Ya Hayyu Ya Qayyum, birahmatika astaghith.
Wahai Yang Maha Hidup dan Yang Maha Mentadbir! dengan rahmatMu, aku memohon pertolongan.




Azam

Hampir sebulan..bagaimana dengan azam baharu? Atau kalimat "baharu" telah lebur maknanya dengan sikap lama dan usang lebih mendominasi diri???

Masih berterusan dengan kesilapan terdahulu, tidak segera mengambil iktibar dan tiada penambahbaikan???
Lama tak speaking London, terseliuh lidah... layan tourist dari Holland... aku hairan macamana anak dia boleh cakap omputeh tanpa gagap... aku pulok jenuh nak keluar word by word... nasib baik mereka faham...

Miskin

 

Telahku tahu merasa dan merasa tahu akan apa itu miskin. Tidak perlu mana-mana pemikir hebat kelas kayangan dan bangsawan menjelaskannya. Aku amat arif. 

Miskin ekonomi, miskin watak dan otak. Miskin perangai dan tingkahlaku. Banyak sifat-sifat negatif menguasai diri bahkan menjadi kebiasaan dan malangnya diangkat menjadi nilai hidup.

Miskin watak terserlah dengan ;

    Hilang rasa tanggungjawab, sense of responsibility

    Hilang kesedaran melaksananakan kewajiban diri, sense of duty

    Hilang  kesedaran tentang matlamat hidup yang mulia

    Hilang sifat rela berkorban

    Hilang sifat menepati masa

    Hilang sifat kerja keras

    Hilang kepedulian terhadap kepentingan awam

    Hilang sifat jimat cermat

    Hilang sifat kepemimpinan dan keteladan

    Hilang sifat jimat cermat

Semua hilang.

Miskin otak terpamer jelas pada sikap malas belajar.

Petanda kehidupan beragama dan amal ibadat yang miskin daripada isi dan ruh yang tulen. Amalan dan ibadat yang hampir-hampir tiada roh.

 


Bahtera Penyelamat

Satu-satunya jalan penyelamat dari bencana kemanusiaan adalah melalui pendidikan yang berteraskan iman dan amal soleh.

Pendekatan pendidikan al-Quran adalah berasaskan targhib dan tarhib, 

merangsang dan mengancam

Setiap kali disebut siksa neraka yang mengerikan, disusuli dengan nikmat syurga yang menyeronokkan.

Ini bermaksud, jika jiwa tidak terkesan dengan ancaman neraka, mereka akan terkesan dengan nikmat syurga yang memberangsangkan.

Iman dan amal soleh digandingkan kerana kedua-duanya saling sempurna menyempurnakan.


Mengangkat Nilai Insaniah

Intipati pendidikan adalah sebagai proses penyempurnaan dan pengutuhan insan. Cita-cita murni dunia pendidikan adalah untuk memugar dan menghidupsuburkan insaniyyat al insan.

Insan disebut sebanyak 65 kali dalam al-Quran. Kita boleh mengelompokkan konteks insan dalam tiga kategori, iaitu:

i.  insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah.

ii. insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia.

         iii. insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia.

Ditegaskan dalam al-Quran, manusia sepanjang zaman sentiasa berhadapan dengan risiko kejatuhan martabat keinsanan dari ahsani taqwiim merudum kepada asfala saafiliin.

Sememangnya kita manusia boleh mencapai kedudukan yang tinggi kerana memang manusia telah dijadikan dalam keadaan yang terbaik, pun begitu kalau kita tidak ambil peduli soal spiritual, kita akan dijatuhkan ke tempat yang rendah.

Kehebatan manusia itu adalah pada roh dan pada akal yang Allah telah berikan.

Manusia juga sebagai makhluk yang bersifat zaluuman jahuula.

Manusia sangat zalim, yang pertama dizalimi adalah diri sendiri. Menjatuhkan martabat dirinya dari sebaik-baik kejadian kepada serendah-rendah makhluk. 

Melupakan Allah akan menjatuhkan manusia dan ingat kepada Allah akan meninggikan kedudukan manusia dan kemuliaannya.

Manusia juga jahil, ia tidak tahu hakikat dirinya dan tidak tahu memelihara martabat keinsanannya. 

Allah telah menjadikan manusia dalam keadaan yang seimbang antara fizikal dan spiritual. Itulah manusia yang sempurna dan hebat. Tapi apabila ada ketidakseimbangan: terlalu ikut kehendak fizikal dan tidak menghiraukan keperluan roh, dan menjauhkan diri dari Allah, maka manusia akan jadi lemah/cepat melatah/tidak bersyukur dan lain-lain sifat kelemahan.




Solusinya...Bahtera Penyelamat.

Membunuh Ego

Sesekali bertanyalah pada diri kita sendiri, adakah ketika kita diberi kelebihan sama ada ilmu, harta, pangkat dan apa sahaja, semakin menjadi angkuh dan sombongkah kita?

Adakah ketika orang menegur kesilapan kita, kita tidak menerimanya bahkan menempelak teguran tersebut hanya kerana kita mempunyai pengikut yang ramai, pangkat dan kedudukan yang tinggi?
Di manakah rasa rendah diri kita di hadapan kebenaran yang ditunjukkan oleh al-Quran?


Membina Manfaat

Bersama Tuan Haji Ujang, Mudir Madrasah Darul Ulum Jengka 11. Tuan Haji sangat istiqamah dalam membangunkan Madrasah. Aspek pendidikan sangat ditegaskan oleh beliau.

Sememangnya tujuan pendidikan harus bermatlamat membantu manusia merealisasikan tujuan penciptaannya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah sebagai hamba dan khalifahnya.

Ilmu yang kita pelajari seharusnya terkait dengan manfaat, seperti mana doa dari pesan Baginda yang kita mohon setiap pagi,

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Juga ilmu yang dapat merealisasikan objektif rahmatan Lil aalamiin, bukankah Baginda diutuskan sebagai tanda rahmatnya Allah
وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ
ilmu yang merahmati dan mensejahterakan alam dan seisinya.
Terima kasih Tuan Haji.



Isi

Terkenang masa kecilku, sesekali musim perayaan, mek membawa aku dan semua adik beradik balik kampung. Ziarah kubur arwah ayah. Ibu dan ayah aku berasal dari kawasan penduduknya sebagai pesawah sebelum mengungsi ke tanah pedalaman sebagai peneroka tanah rancangan getah.

Mat, bisik mek
Ye, mek.
Lihat padi itu.
Ye, menguning, merendah dan menunduk, jawab aku.
Betul Mat.
Dah kenapa mek?
Padi itu merendah dan menunduk lantaran ada isi yang memberatkannya.
Lalu bagaimana mungkin hati kita boleh tunduk dan merendah di hadapan kebenaran jika hati kita tiada isi yang memberatkannya untuk tunduk dan merendah diri.
Maka apakah yang perlu kita isi ke dalam hati kita agar kita dapat tunduk di hadapan kebenaran?
Untuk menundukkan anggota badan kita pada kebenaran ialah dengan mengilmui kebenaran, lalu mempercayai kebenaran. Hanya dengan ilmu, iman dan keyakinan, hati kita terisi dan terasa berat lalu anggota badan akan menunduk akur kepada kebenaran walau siapa pun kita.
Justeru, bagaimana kita Mat?
Pesan mek ku semat di dada.