Membaca Kehidupan


 Ilmu itu ada dimana-mana, pengetahuan di mana-mana tersebar, kalau kita bersedia membaca, dan bersedia mendengar.

Hidup ini keras dan kejam. Kau mengira hanya dengan banyak membaca, menulis, dan mendengarkan cerita maka semua permasalahan hidupmu mudah selesai? Hal itu cuma akan terjadi di dunia mimpi.

Saya mengharapkan bahawa apa yang dibaca dalam tulisan saya akan memberikan kekuatan pada pembaca saya, memberikan kekuatan untuk tepat berpihak pada yang benar, pada yang adil, pada yang indah.

Kemampuan membaca itu sebuah rahmat. Kegemaran membaca, sebuah kebahagiaan.

Kawan

Kawan... 
kita bukan lawan
kita cuma berbeza
berbeza rupa 
berbeza cara
pun begitu destinasi kita sama
elak murka Yang Maha Perkasa

kawan...
izinkan aku menyapa
untuk kita kembali mesra

kawan... 
mana suara mu dulu yang gegak gempita 
membelah angkasa
meruntuh langit tak tersisa 
kontang lautan panas membara

kawan... 
kenapa kini
bungkam sepi tanpa kata
diam tak lagi petah berbicara 
melihat angkara di depan mata 
atau sudah buta
mungkin juga alpa serta kelam
oleh kuasa, harta dan tahta juga wanita 
atau dulu sekadar bermain kata
membelit bicara 
memutar sandiwara gila

kawan...
aku masih di sini
masih setia mendengar tutur bicara

Ulang tahun

 Alhamdu lillah,

Hari ini masuk tahun ke 25 aku bergelar seorang guru. Aku bukan nak cerita tentang suka duka, pahit manis selama tempoh itu menggalas "title" guru, cuma aku nak kongsi bagaimana ia bermula, dengan dendam ia bermula.

Di bangku persekolahan, aku bukanlah dalam kalangan pelajar super, corot betul pun tidak, biasa-biasa sahaja, tiada tak rasa kehilangan, ada tidak memberi nilai tambah. 

Dihukum sebab kesalahan salah laku, tak banyak, ada, kerap kali, bahkan hari-hari. 

Anugerah tanda kecemerlangan pula tak cukup 5 jari. Terukkan.

Sekadar yang aku ingat, paling awal "menikmati" istimewa tangan halus gebu cikgu, masa darjah 5. Masa tu nak menduduki peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Cikgu matematik. Akibatnya aku mula berdendam dengan cikgu. Tunas dendam.

Tunas dendam mekar dan terus subur mewangi, hayunan tangan dirasai cukup sempurna, sesedap rasa di pagi hari yang dingin kerana gagal membawa keratan akhbar iklan jawatan kosong. 

Di ketika yang lain, punggung ku yang nipis dan betis halus ku acap benar mengecapi libasan rotan berbisa dari guru disiplin. Dendam semakin parah.

Tapak tangan halusku sering menjadi sasaran guru matapelajaran, berbirat lebam tak terbilang. Aku diam menahan sakit, kadang-kadang mengalir juga air mata. Dendam yang parah terus membarah.

Berlari keliling padang semacam rutin. "Berjalan itik" mengelilingi blok sekolah dari tingkat bawah ke tingkat tiga itu lumrah. Dendam yang membarah terus menggila.

Dicubit perut, berdiri di atas bangku di atas meja, ahhh tak perlu dihitung kira, itu umpama makanan ruji yang terpaksa ku telan. Semua itu menyalamarakkan api dendam.

Banyak lagi kalau nak aku congak hasil dapatan 'anugerah' sepanjang musim persekolahan. Lunyai, remuk, kalau ibarat kaca, terhempas pecah berderai.

Aku harus segera berangkat dari bangku sekolah. Tapi bagaimana? Nak sampaikan hasrat untuk berhenti sekolah kepada mek?...Tidak mungkin, arwah aku. Dalam dendam yang membarah marak menyala aku tetap mengatur langkah ke sekolah walaupun hati membantah.

Hari ini, aku menulis coretan ini dari bilik di pejabat sekolah untuk melunaskan dendam. Atas dendamku kepada guru-guru yang pernah mendidik dan mengasuhku maka aku ucapkan 'terima kasih cikgu'. Jasamu dikenang. 

#selamanyabegitu

#matawangori70

Bersama bekas tunang.