Monogami dan Poligami : Tuntutan, Keperluan dan Kemampuan - satu catatan ringkas

  


Poligami yang memecah-belahkan itu bukan mengikut sunah. Matlamat yang jelas dan kebersihan niat Baginda menggunakan strategi pernikahan untuk dakwah semakin diterima apabila seseorang memahami tafsir Surah al-Nisa’4, ayat 3 yang diajarkan Rasulullah SAW.



"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

 

Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, “Berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan...”

Al-Quran mengemukakan pelbagai bimbingan dan perundangan untuk melindungi wanita khususnya anak yatim perempuan yang masih kecil dan perempuan yang lemah dan menjaga hak mereka sekalian dalam harta pusaka dan pencarian serta memelihara hak dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman jahiliah dan adat tradisi yang penuh aniaya dan menghina.

Islam datang bukan untuk memberi kebebasan beristeri lebih daripada seorang, malah untuk membataskan bilangannya.

Ia datang bukan untuk membiarkan perkara itu kepada kehendak hawa nafsu lelaki, malah meletakkan keadilan sebagai syarat perkahwinan lebih daripada satu. Jika tidak, maka kebenaran yang diberikan itu akan tertahan.

Mengapa Islam mengharuskan perkahwinan lebih daripada seorang? Sayyid Qutb memberi contoh poligami menjadi penyelesaian realistik dalam situasi perempuan lebih ramai daripada lelaki, isteri tidak sukakan hubungan kelamin, isteri sakit dan isteri mandul.

Syarat keadilan menjamin keadilan bagi membolehkan wanita menghadapi keadaan darurat dan tuntutannya yang pahit.

Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan.

Tiada motif lain kecuali untuk menikmati kelazatan haiwaniah dan kenikmatan berpindah-pindah daripada seorang isteri kepada isteri lain sebagaimana perpindahan dilakukan seorang lelaki dalam kalangan teman wanitanya.

Di istana raja ditempatkan isteri raja, gundik dan pelayan wanita. Amalan itu bukan anjuran Islam.

Masyarakat itu yang pertama bertanggungjawab terhadap sistem bebas berkahwin lebih daripada seorang dalam bentuk yang rendah dan meragukan.

Keadilan yang dituntut ialah keadilan dalam mua’malah, nafkah, tinggal bersama dan hubungan kelamin. Keadilan dalam soal hati di luar kemampuan manusia.

Islam tidak menyuruh berkahwin lebih daripada seorang, tetapi membenarkannya dengan bersyarat.

Ia diperteguhkan lagi dengan firman Allah SWT 



 “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

(Surah al-Nisa’4, ayat 129)

Itulah langkah lebih dekat supaya kamu tidak berlaku zalim. Ia juga adalah soal keprihatinan, ketakwaan dan takut kepada Allah apabila dia tidak dapat berlaku adil terhadap wanita di bawah jagaannya.

Diberikannya rukhsah (kelonggaran) untuk melakukan poligami. Islam tidak memperkenalkan poligami kerana ia sudah ada dalam budaya terdahulu.

Islam datang untuk membatasi dan tidak menyuruh berpoligami melainkan hanya memberi kelonggaran untuk menyelesaikan masalah tertentu.

Tafsir fi zilalil quran jilid 2 ms 189-192

Merujuk tafsir sahih Ibnu Kathir:

“Wahai sekalian manusia, kalian tidak akan mampu berlaku adil antara isteri-isteri kalian daripada segala sisi. Kerana sekalipun kalian memberi giliran malam yang sama kepada mereka, namun kalian pasti berbeza dalam rasa cinta, syahwat dan jimak.”

Imam Ahmad dan penulis kitab sunan meriwayatkan bahawa Aisyah berkata, Baginda memberi giliran mereka dengan adil.

Baginda memohon: “Ya Allah, inilah pembahagian yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela diriku pada apa yang Engkau miliki dan tidak aku miliki.”

(Aisyah berkata), ‘Iaitu hati.’ “Sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung.”

Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, al-Hasan, al-Dhahak, al-Rabi’, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan berkata, keadaan itu seperti tiada suami dan tidak juga diceraikan.


Antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian pihak adalah isu perkahwinan Rasulullah SAW yang baginda memiliki 11 isteri sedangkan lelaki muslim yang lain hanya dibenarkan mempunyai empat isteri sahaja dalam satu masa.

Akibat salah faham terhadap isu ini, ada yang menuduh Nabi SAW dengan tuduhan-tuduhan yang tidak wajar disandarkan kepada baginda selaku Nabi yang terulung.

Sebenarnya, jika kita meneliti status setiap isteri baginda, nescaya kita akan mengetahui betapa mulianya Nabi Muhammad SAW dalam mengahwini wanita-wanita terpilih tersebut.

Syeikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy selaku seorang tokoh terkenal dalam bidang hadis dan tasauf di Mesir telah membuat kesimpulan mudah dalam isu ini dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan oleh Allah.

 

Maka setiap tindakan dan ucapan baginda adalah merupakan arahan dan keizinan daripada Allah SWT kerana baginda dan seluruh para rasul yang lain mempunyai sifat ‘Ismah iaitu dipelihara oleh Allah SWT daripada jatuh ke lembah dosa.

Maka mempertikaikan segala tindakan Rasulullah SAW adalah mempertikaikan arahan Allah yang meminta dan mengizinkan baginda berkahwin lebih daripada empat isteri.

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pula pernah mengeluarkan satu artikel khusus bagi menjawab persoalan mengapa baginda SAW berkahwin lebih daripada empat isteri.

Menurut institusi fatwa bertaraf dunia ini, perkahwinan Nabi Muhammad SAW adalah berlegar pada tiga faktor iaitu kemasyarakatan, pensyariatan dan politik.

 

Faktor Kemasyarakatan:

 

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Khadijah binti Khuwaylid adalah bertunjangkan faktor kemasyarakatan kerana masyarakat mengharapkan pasangan suami isteri adalah mereka yang matang dari sudut pemikiran dan pengurusan rumah tangga.

Baginda SAW semasa berkahwin dengan Saidatina Khadijah berusia 25 tahun. Baginda melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta ini tanpa berpoligami selama 25 tahun iaitu sehingga kewafatan Saidatina Khadijah.

Selepas kemangkatan Saidatina Khadijah, Nabi SAW mengahwini Saidatina Sawdah bin Zam’ah yang merupakan seorang janda. Ini kerana Rasulullah SAW selepas kemangkatan Saidatina Khadijah memerlukan isteri yang baharu untuk menjadi ibu bagi menjaga empat puteri baginda yang masih kecil hasil perkongsian hidup baginda dengan Saidatina Khadijah.

Seterusnya pada tahun 3 Hijriah, baginda mengahwini Saidatina Hafsoh puteri Saidina Umar bin al-Khattab yang baru sahaja kematian suaminya. Perkahwinan ini bertujuan memuliakan dan menggembirakan hati Saidina Umar yang berusaha mencari suami baru terbaik buat puteri beliau.

Pada tahun 4 Hijriah pula, Rasulullah SAW mengahwini Saidatina Zainab binti Khuzaymah yang baru sahaja kematian suami yang gugur syahid di medan Uhud dan dia memliliki ramai anakPada tahun yang sama juga, Nabi Muhammad SAW mengahwini Saidatina Ummu Salamah atau nama sebenar beliau Hind binti Umayyah yang kematian suami di samping memiliki anak-anak yang masih kecil. Maka Rasulullah mengahwini mereka untuk untuk memberi perlindungan dan menjaga anak-anak mereka

Maka jelaslah bahawa perkahwinan-perkahwinan di atas antara tujuannya adalah untuk menjaga para isteri sahabat baginda yang telah gugur di medan perang agar para isteri yang ditinggalkan dan anak-anak yang menjadi yatim dapat dibela nasibnya oleh Rasulullah SAW.

Faktor Pensyariatan:

 

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq adalah berasaskan faktor pensyariatan kerana baginda telah bermimpi bahawa baginda mengahwini Saidatina Aisyah. Mimpi para Rasul adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT.

Maka menerusi mimpi ini, tahulah kita bahawa Allah memerintahkan Nabi SAW mengahwini puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq sekalipun jarak usia antara baginda dan Saidatina Aisyah adalah jauh. Ini sekali gus menjawab kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah.

Seterusnya perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Zaynab binti Jahsy pada tahun 5 Hijriah yang telah diceraikan oleh bekas suaminya Saidina Zayd bin Harithah yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW juga atas faktor pensyariatan.

Ini kerana Allah ingin menyatakan kepada umat Islam bahawa tidak berdosa sekiranya ayah angkat mengahwini isteri anak angkatnya setelah berlaku perceraian. Maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW menjelaskan perkara ini secara praktikal.

Ini jelas terpapar di dalam surah al-Ahzab ayat ke-37 yang bermaksud: Maka apabila Zayd telah selesai mendapatkan hajat daripada dia [iaitu setelah beliau selesai menceraikan isterinya], Kami telah mengahwinkan anda dengannya [iaitu bekas isteri Saidina Zayd] supaya tidak berlaku kesusahan ke atas orang mukmin untuk mereka mengahwini isteri-isteri kepada anak-anak angkat mereka setelah anak-anak angkat tersebut mendapatkan hajat daripada isteri-isteri mereka [iaitu setelah mereka menceraikan isteri-isteri mereka]. Sesungguhnya urusan Allah [iaitu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah] adalah berlaku.

Penulis ialah  Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah.

Faktor politik

Perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan sebahagian isteri baginda selepas itu adalah disebabkan faktor politik bagi mengelakkan permusuhan, menautkan hati musuh kepada keindahan Islam dan dapat menyebabkan pembebasan tawanan perang. Perkahwinan baginda dengan Saidatina Juwayriyah binti al-Harith yang bapanya adalah penghulu suku al-Mustoliq yang merupakan salah satu suku daripada kekeluargaan Khuza’ah adalah didasari faktor politik.

Antara pernikahan yang menatijahkan kejayaan besar buat dakwah ialah menerusi perkahwinan Baginda dengan Juwairiyah binti al-Harith.Juwairiyah adalah puteri bangsawan kepada al-Harith bin Dirar iaitu pemimpin Bani al-Mustaliq.Dengan pernikahan itu, Bani al-Mustaliq yang asalnya membenci dan sampai tahap memerangi umat Islam, akhirnya ramai yang masuk Islam.Nabi SAW sudah melihat potensi pernikahan itu untuk dakwah iaitu ia boleh meredakan kebencian kaum Bani al-Mustaliq kepada Islam, bahkan mencintai kebaikannya.

Dalam 10 tahun di Madinah, barulah Baginda berpoligami demi dakwah. Pernikahan itu tidak dibuat secara sembunyi.

Ia dilakukan secara terhormat dan berjaya memenangi serta menyatukan hati banyak kelompok yang suka bermusuhan sehingga tertanam rasa kekerabatan dengan Baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan