Terbabas.

 

Cerita pagi ini.



Alhamdulillah, hari ini 20 Julai 2021 ( 10 Zulhijjah 1442 Hijrah), masih diberi kesempatan menyambut Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Sekitar jam 7.35 pagi aku dan anak lelaki membonceng motosikal ke masjid berdekatan. Pada malam dan subuh pagi tadi, pihak masjid mengumumkan bahawa bilangan jemaah untuk solat raya cuma terhad kepada 350 orang dalam kalangan lelaki sahaja. Isteri dan anak-anak perempuan aku, mereka ke surau di taman perumahan.

Sesampai di masjid, seperti biasa  aku “menjeling manja” jam di dinding, kalau-kalau ada ruang masa untuk mengerjakan solat tahiyatul masjid.

Solat tahiyatul masjid adalah solat dua rakaat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh seseorang yang memasuki masjid. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya : Apabila salah seorang dari kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah dia duduk sehingga dia selesai solat dua rakaat

Seusai solat tahiyatul masjid, sekitar jam 8.10 pagi, aku fikir masih ada masa untuk aku mengerjakan solat hajat (riya’ la tu…hehehehe) kerana solat raya akan ditunaikan pada jam 8.30 pagi. Aku segera bangkit berdiri, berniat, bertakbir, baca doa iftitah, baca sural al-fatihah dan hajat selepas baca al-fatihah aku nak baca ayat qursi. Selesai membaca Fatihatul Kitab, aku bertakbir raya..opss..sampai hampir habis aku bertakbir raya…kenapa pula ni ye????…Sedangkan aku sedang solat…hampeh betul. Dalam tak sedar aku mengikut syeikh takbir raya bertakbir..hampureh betul…dengan segera aku “balik”  ke dalam solat, baca cepat-cepat dan dengan segera menghabiskan solat, bimbang solat aku terbabas lagi. (ek eleh memang selalu terbabas pun, bukan sekadar terbabas, bahkan kemalangan parah pun ada, cuma belum ada lagi kemalangan yang “total lost” rasanya).

 Fikir-fikir punya fikir, aku rasa teruk betul nilai solat yang aku kerjakan. Boleh terikut-ikut orang bertakbir. Ya, Allah, Ya Ghafur, Ya Rahman, Ya Rahim …ampunkan aku. Aku juga ada teringat pesan Junjungan Nabi SAW seperti berikut :

Pertama, dalam hadith sahih,

dari Abu Sa’id, ia berkata, Rasulullah saw i’tikaf di masjid lalu mendengar mereka membaca al-Quran dengan kuat sedangkan baginda berada dalam qubbah. lalu baginda membuka langsir dan bersabda, ” Setiap dari kamu sedang bermunajat kepada TUHANnya maka jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan sebahagian kamu mengangkat suara dengan bacaan al-Quran.” (HR Ahmad dan Abu Dawud).

 Kedua,

al-Bayadi berkata, Rasulullah keluar sedangkan orang ramai sedang bersolat, dan tinggi suara mereka dalam membaca al-Quran. Lalu Nabi saw bersabda, ” Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang bermunajat (berbisik) kepada Tuhannya, dan jangan sebahagian kamu menguatkan bacaan al-Quran sehingga mengganggu orang lain.” (HR Ahmad).

 

Ketiga,

Dari ‘Ali berkata, bahawa Rasulullah saw melarang seseorang itu mengangkat suara ketika membaca al-Quran sebelum isya’ atau selepasnya, ia mengganggu sahabat-sahabatnya yang bersolat. (HR Ahmad).

Suatu ketika Nabi mendengar bacaan yang kuat di dalam masjid, lalu Nabi saw menyingkap tabir dan bersabda,

“Janganlah sebahagian kamu menguatkan bacaan al-Qur’an dalam masjid”.

Aku masih keliru.

 

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan