Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 11

 

Selamat tinggal KL, Kota raya yang tak pernah diam, kota raya yang tidak pernah lesu, kota raya yang menjanjikan sejuta rasa.

Kuala Lumpur,

Kota seribu luka

Kota jiwa lara.

‘Pok Ya, aku fikir ini bulan terakhir aku tinggal di sini’

‘Doh bakpo, mung nok gi man0?’

‘Aku nak jadi cikgu’

Hah!!??? Engkau dah hilang akal? Gila ke apa ke? Dulu masa habis belajar engkau dapat tawaran Diploma Pendidikan engkau tolak dah kenapa? Tiba-tiba hari ni buang tebiat?

Aku tidak menjawab.

Tak mengapalah, yang sudah tu sudahlah, kita sudahkan perkara yang belum sudah. Itu keputusan dulu. Ada ketikanya kita berubah hati hanya oleh kerana sebuah ucapan, sebuah harapan.

Minggu lepas aku balik kampung.

Ayer Lanas, Jeli, Kelantan. Kampung halaman aku membesar dan mendewasa. Aku benar-benar terasa damai di sini, dan di sinilah yang menjadikan aku hari ini.

Selalu-selalulah jenguk kampung halaman, maka kita menemukan banyak momen-momen yang tidak ternilai harganya. Ketika kita akhirnya kembali ke halaman kita membesar, kita akan menemukan itu, bukan kampung laman yang kita rindukan, tetapi masa kecil kita.  Kampung halamanku adalah inspirasi terbesarku.

Di atas pangkin, di depan rumah bersembang-sembang aku dengan mek. Ye lah sejak aku berkerja ini pertama kali aku balik. Banyak topik yang kami dibicarakan.  

 Mek nakkan anak-anak mek dapat belajar tinggi, amanah arwah ayahmu, mek dah sempurnakan. Alhamdulillah kamu dah berjaya.

 ‘Terima kasih mek’

 Fasih dan lancar dihitung seorang demi seorang anak jiran yang juga rakan sepermainan aku yang menjadi cikgu. Anak mek ada lapan orang. Seorang pun tak ada yang jadi cikgu.

Melihat kepada riak wajah dan nada bicara mek yang sangat berharap, aku terkebil-kebil. Diam membisu. Mendongak melihat langit biru, menarik nafas yang  paling dalam. Perlahan-lahan aku melepaskan nafas yang panjang.

 Mengaru-garu kepala yang tak gatal. Masa tu rambut panjang, maklum la zaman rock kapak tetapi sekarang dah nak botak.

Rasa kosong, kehilangan makna, rasa berdosa jika menghampakan hasrat hajat bonda tercinta.

 Aku keliru,  kepuasan sendiri atau menyempurnakan hajat mek.

 Lama aku menghitung, mencongak, dan mengira. Buntu. Tiada jawapan, walaupun aku pernah jadi pakar rujuk subjek Matematik. Sifir kehidupan tidak mudah.

‘Bagi saya masa Mek’.

 Sedikit masa.

Allah mencipta semua peristiwa sesuai dengan tujuan Ilahiah dan terdapat kebaikan dalam apa sahaja yang diciptakan oleh Allah sama ada kebaikan yang boleh dicerna dan difahami oleh kita atau tidak.

Melangkah ke jalur kehidupan baru itu susah, tetapi tidak sesulit untuk terus bertahan dalam situasi hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan