Baiklah mek, akan
ku sempurnakan hasratmu. Restumu ku pohon dalam mendepani hidupku. Moga-moga
dengan restu izinmu aku mampu melangkah gagah, setabah hatimu ibu.
Muktamad. Tiada
lagi ragu. Percaya lagi yakin. Walaupun kadang-kadang rasa kesal, sedih, kecewa
gelisah, risau gundah dan kacau. Memang episod-episod itu tak boleh kita nak
elak.
Jalan terus, penuh tekad, azam dan
nekad. Usah lagi bertangguh. Cipta masa depan yang lebih baik seiring dengan hajat
ibu. Masa lalu tak boleh diubah, pun begitu masa depan tidak boleh diramal
Kita masih ada hari ini, detik,
waktu dan ketika ini untuk ditempuhi dengan sebaiknya bagi melakar kejayaan dan
ketenangan dalam hidup, lebih-lebih lagi bersama doa seorang ibu. Hijrah, ye hijrah.
Bila hijrah yang kita lakukan murni kerana Dia, maka kita teruskan melangkah,
meskipun dalam keadaan lelah. Tawakal.
‘Barangsiapa bertakwa
kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya
rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang
bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya
Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.’
Di
Bandar Dungun aku tinggal menyewa di Sura Gate bersama seorang rakan sejawat.
Bandar kecil yang damai, berhampiran pantai. Pada kesempatan tertentu aku mengunjungi
pantai. Tanjung Jara pastinya selain pantai berhampiran ITM (UiTM) cawangan
Dungun. Pantai Teluk Lipat dan Pantai Sura.
Di
sini aku temui Fiqa, gadis kelahiran Pasir Puteh. Pertemuan yang membibitkan rasa sayang dan ingin memiliki. Cinta
adalah bunga kehidupan yang mekar tak terduga.
Pertemuan yang tak disengajakan dengan orang yang
tak terduga terjadi begitu sahaja. Tiada hukum fizik yang mengaturnya. Cinta
bukan sebuah perancangan. Seperti kebetulan. Ia hadir pada saat mata dan hati
berintraksi saling berintraksi, saling memahami.
Melihat senyummu adalah kebahagiaan buatku,
memilikimu adalah hadiah teristimewa dan paling indah dalam hidupku.
‘Awak, saya mendapat tawaran belajar di Maktab
Perguruan’, aku sampaikan berita gembira kepada Fiqa
‘Wah, bestnya, tahniah!!, tercapai cita-cita
awak, saya tumpang berbahagia’.
‘Dan hajat ibu saya, terima kasih’
‘Kat mana ye?’
‘Alhamdulillah, masih di negeri ini, negeri
yang menemukan kita, Terengganu, Kuala Terengganu, Batu Rakit.’
Fiza menguntum senyum. Aku juga. Dunia kami
berpelangi, indah.
Pohon sena, pohon meranti
Di tengah-tengah, di tengah-tengah buluh perindu
Adik di sana, Abang di sini
Di tengah-tengah rindu menderu
Hujan di hulu, tak reda-reda
Ributlah turun, ributlah turun bertalu-talu
Abang di hulu, adik di kuala
Ku hanyut rindu, ku hanyut rindu dalam perahu
(Roslan Madun)
Rindu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan