Usaha : Tadbir dan Takdir

Hidayah milik Allah. Yakinlah. Usaha dengan tulus, ikhlas. Insya-Allah tidak disia-siakan. Kita berusaha mentadbir hidup sebaik mungkin. Biarlah Allah dengan takdirNya. Usaha, doa tawakal seiiring, sejalan. Yakinlah, sebaik-baik tadbir membuahkan sebaik-baik takdirNya.


Ibnu Qayyim menukilkan, sesuai dengan kadar niat, tekad dan semangat seorang hamba, sekadar itulah Allah memberikan taufik dan pertolongan kepadanya. Maka pertolongan Allah akan turun kepada seseorang hamba sesuai dengan kadar tekadnya.


Yakinlah kepada Dia, Pencipta kita, ketika berlaku sesuatu di luar rancangan kita, sesungguhnya Allah mempunyai perancangan yang jauh lebih baik dari apa yang kita harapkan.



Terbabas.

 

Cerita pagi ini.



Alhamdulillah, hari ini 20 Julai 2021 ( 10 Zulhijjah 1442 Hijrah), masih diberi kesempatan menyambut Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Sekitar jam 7.35 pagi aku dan anak lelaki membonceng motosikal ke masjid berdekatan. Pada malam dan subuh pagi tadi, pihak masjid mengumumkan bahawa bilangan jemaah untuk solat raya cuma terhad kepada 350 orang dalam kalangan lelaki sahaja. Isteri dan anak-anak perempuan aku, mereka ke surau di taman perumahan.

Sesampai di masjid, seperti biasa  aku “menjeling manja” jam di dinding, kalau-kalau ada ruang masa untuk mengerjakan solat tahiyatul masjid.

Solat tahiyatul masjid adalah solat dua rakaat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh seseorang yang memasuki masjid. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya : Apabila salah seorang dari kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah dia duduk sehingga dia selesai solat dua rakaat

Seusai solat tahiyatul masjid, sekitar jam 8.10 pagi, aku fikir masih ada masa untuk aku mengerjakan solat hajat (riya’ la tu…hehehehe) kerana solat raya akan ditunaikan pada jam 8.30 pagi. Aku segera bangkit berdiri, berniat, bertakbir, baca doa iftitah, baca sural al-fatihah dan hajat selepas baca al-fatihah aku nak baca ayat qursi. Selesai membaca Fatihatul Kitab, aku bertakbir raya..opss..sampai hampir habis aku bertakbir raya…kenapa pula ni ye????…Sedangkan aku sedang solat…hampeh betul. Dalam tak sedar aku mengikut syeikh takbir raya bertakbir..hampureh betul…dengan segera aku “balik”  ke dalam solat, baca cepat-cepat dan dengan segera menghabiskan solat, bimbang solat aku terbabas lagi. (ek eleh memang selalu terbabas pun, bukan sekadar terbabas, bahkan kemalangan parah pun ada, cuma belum ada lagi kemalangan yang “total lost” rasanya).

 Fikir-fikir punya fikir, aku rasa teruk betul nilai solat yang aku kerjakan. Boleh terikut-ikut orang bertakbir. Ya, Allah, Ya Ghafur, Ya Rahman, Ya Rahim …ampunkan aku. Aku juga ada teringat pesan Junjungan Nabi SAW seperti berikut :

Pertama, dalam hadith sahih,

dari Abu Sa’id, ia berkata, Rasulullah saw i’tikaf di masjid lalu mendengar mereka membaca al-Quran dengan kuat sedangkan baginda berada dalam qubbah. lalu baginda membuka langsir dan bersabda, ” Setiap dari kamu sedang bermunajat kepada TUHANnya maka jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan sebahagian kamu mengangkat suara dengan bacaan al-Quran.” (HR Ahmad dan Abu Dawud).

 Kedua,

al-Bayadi berkata, Rasulullah keluar sedangkan orang ramai sedang bersolat, dan tinggi suara mereka dalam membaca al-Quran. Lalu Nabi saw bersabda, ” Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang bermunajat (berbisik) kepada Tuhannya, dan jangan sebahagian kamu menguatkan bacaan al-Quran sehingga mengganggu orang lain.” (HR Ahmad).

 

Ketiga,

Dari ‘Ali berkata, bahawa Rasulullah saw melarang seseorang itu mengangkat suara ketika membaca al-Quran sebelum isya’ atau selepasnya, ia mengganggu sahabat-sahabatnya yang bersolat. (HR Ahmad).

Suatu ketika Nabi mendengar bacaan yang kuat di dalam masjid, lalu Nabi saw menyingkap tabir dan bersabda,

“Janganlah sebahagian kamu menguatkan bacaan al-Qur’an dalam masjid”.

Aku masih keliru.

 

 

 


Belitan Iblis

 

Belitan kata-kata iblis kepada orang-orang yg dikatakan ulama’.

Iblis memasukkan syubhat indah kepada mereka (ahli ilmu/ulama). Iblis mengatakan, "Bagi kalian mencari darjat tertinggi bukanlah kesombongan! Kerana kalianlah pembawa syariat. Kalianlah yang menginginkan kemuliaan agama, kalianlah yang membantah ahli bidaah.


Ucapan lisanmu terhadap orang-orang yang hasad adalah kemarahan untuk membela syariat, kerana orang yang hasad telah mencela orang yang menjalankan syariat"

Dunia : Terpinggir atau Meminggir

 Wahai anak2ku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah kerana nanti engkau menjadi pengemis yg menjadi beban kepada orang lain. Pun begitu janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya, kerana sesungguhnya apa yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.


Luqman al-Hakim



Meraih Kesempurnaan

Mengharapkan kesempurnaan akan menatijahkan rasa kecewa dan putus asa.

Hakikat kita sebagai insan yang penuh dengan kekurangan.

Kita beruntung kerana walaupun kita penuh dan sarat dengan ketidaksempurnaan tetapi dipandu oleh wahyu yang sangat mengispirasikan sebagai panduan dari Ilahi.




Monogami dan Poligami : Tuntutan, Keperluan dan Kemampuan - satu catatan ringkas

  


Poligami yang memecah-belahkan itu bukan mengikut sunah. Matlamat yang jelas dan kebersihan niat Baginda menggunakan strategi pernikahan untuk dakwah semakin diterima apabila seseorang memahami tafsir Surah al-Nisa’4, ayat 3 yang diajarkan Rasulullah SAW.



"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

 

Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, “Berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan...”

Al-Quran mengemukakan pelbagai bimbingan dan perundangan untuk melindungi wanita khususnya anak yatim perempuan yang masih kecil dan perempuan yang lemah dan menjaga hak mereka sekalian dalam harta pusaka dan pencarian serta memelihara hak dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman jahiliah dan adat tradisi yang penuh aniaya dan menghina.

Islam datang bukan untuk memberi kebebasan beristeri lebih daripada seorang, malah untuk membataskan bilangannya.

Ia datang bukan untuk membiarkan perkara itu kepada kehendak hawa nafsu lelaki, malah meletakkan keadilan sebagai syarat perkahwinan lebih daripada satu. Jika tidak, maka kebenaran yang diberikan itu akan tertahan.

Mengapa Islam mengharuskan perkahwinan lebih daripada seorang? Sayyid Qutb memberi contoh poligami menjadi penyelesaian realistik dalam situasi perempuan lebih ramai daripada lelaki, isteri tidak sukakan hubungan kelamin, isteri sakit dan isteri mandul.

Syarat keadilan menjamin keadilan bagi membolehkan wanita menghadapi keadaan darurat dan tuntutannya yang pahit.

Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan.

Tiada motif lain kecuali untuk menikmati kelazatan haiwaniah dan kenikmatan berpindah-pindah daripada seorang isteri kepada isteri lain sebagaimana perpindahan dilakukan seorang lelaki dalam kalangan teman wanitanya.

Di istana raja ditempatkan isteri raja, gundik dan pelayan wanita. Amalan itu bukan anjuran Islam.

Masyarakat itu yang pertama bertanggungjawab terhadap sistem bebas berkahwin lebih daripada seorang dalam bentuk yang rendah dan meragukan.

Keadilan yang dituntut ialah keadilan dalam mua’malah, nafkah, tinggal bersama dan hubungan kelamin. Keadilan dalam soal hati di luar kemampuan manusia.

Islam tidak menyuruh berkahwin lebih daripada seorang, tetapi membenarkannya dengan bersyarat.

Ia diperteguhkan lagi dengan firman Allah SWT 



 “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

(Surah al-Nisa’4, ayat 129)

Itulah langkah lebih dekat supaya kamu tidak berlaku zalim. Ia juga adalah soal keprihatinan, ketakwaan dan takut kepada Allah apabila dia tidak dapat berlaku adil terhadap wanita di bawah jagaannya.

Diberikannya rukhsah (kelonggaran) untuk melakukan poligami. Islam tidak memperkenalkan poligami kerana ia sudah ada dalam budaya terdahulu.

Islam datang untuk membatasi dan tidak menyuruh berpoligami melainkan hanya memberi kelonggaran untuk menyelesaikan masalah tertentu.

Tafsir fi zilalil quran jilid 2 ms 189-192

Merujuk tafsir sahih Ibnu Kathir:

“Wahai sekalian manusia, kalian tidak akan mampu berlaku adil antara isteri-isteri kalian daripada segala sisi. Kerana sekalipun kalian memberi giliran malam yang sama kepada mereka, namun kalian pasti berbeza dalam rasa cinta, syahwat dan jimak.”

Imam Ahmad dan penulis kitab sunan meriwayatkan bahawa Aisyah berkata, Baginda memberi giliran mereka dengan adil.

Baginda memohon: “Ya Allah, inilah pembahagian yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela diriku pada apa yang Engkau miliki dan tidak aku miliki.”

(Aisyah berkata), ‘Iaitu hati.’ “Sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung.”

Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, al-Hasan, al-Dhahak, al-Rabi’, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan berkata, keadaan itu seperti tiada suami dan tidak juga diceraikan.


Antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian pihak adalah isu perkahwinan Rasulullah SAW yang baginda memiliki 11 isteri sedangkan lelaki muslim yang lain hanya dibenarkan mempunyai empat isteri sahaja dalam satu masa.

Akibat salah faham terhadap isu ini, ada yang menuduh Nabi SAW dengan tuduhan-tuduhan yang tidak wajar disandarkan kepada baginda selaku Nabi yang terulung.

Sebenarnya, jika kita meneliti status setiap isteri baginda, nescaya kita akan mengetahui betapa mulianya Nabi Muhammad SAW dalam mengahwini wanita-wanita terpilih tersebut.

Syeikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy selaku seorang tokoh terkenal dalam bidang hadis dan tasauf di Mesir telah membuat kesimpulan mudah dalam isu ini dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan oleh Allah.

 

Maka setiap tindakan dan ucapan baginda adalah merupakan arahan dan keizinan daripada Allah SWT kerana baginda dan seluruh para rasul yang lain mempunyai sifat ‘Ismah iaitu dipelihara oleh Allah SWT daripada jatuh ke lembah dosa.

Maka mempertikaikan segala tindakan Rasulullah SAW adalah mempertikaikan arahan Allah yang meminta dan mengizinkan baginda berkahwin lebih daripada empat isteri.

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pula pernah mengeluarkan satu artikel khusus bagi menjawab persoalan mengapa baginda SAW berkahwin lebih daripada empat isteri.

Menurut institusi fatwa bertaraf dunia ini, perkahwinan Nabi Muhammad SAW adalah berlegar pada tiga faktor iaitu kemasyarakatan, pensyariatan dan politik.

 

Faktor Kemasyarakatan:

 

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Khadijah binti Khuwaylid adalah bertunjangkan faktor kemasyarakatan kerana masyarakat mengharapkan pasangan suami isteri adalah mereka yang matang dari sudut pemikiran dan pengurusan rumah tangga.

Baginda SAW semasa berkahwin dengan Saidatina Khadijah berusia 25 tahun. Baginda melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta ini tanpa berpoligami selama 25 tahun iaitu sehingga kewafatan Saidatina Khadijah.

Selepas kemangkatan Saidatina Khadijah, Nabi SAW mengahwini Saidatina Sawdah bin Zam’ah yang merupakan seorang janda. Ini kerana Rasulullah SAW selepas kemangkatan Saidatina Khadijah memerlukan isteri yang baharu untuk menjadi ibu bagi menjaga empat puteri baginda yang masih kecil hasil perkongsian hidup baginda dengan Saidatina Khadijah.

Seterusnya pada tahun 3 Hijriah, baginda mengahwini Saidatina Hafsoh puteri Saidina Umar bin al-Khattab yang baru sahaja kematian suaminya. Perkahwinan ini bertujuan memuliakan dan menggembirakan hati Saidina Umar yang berusaha mencari suami baru terbaik buat puteri beliau.

Pada tahun 4 Hijriah pula, Rasulullah SAW mengahwini Saidatina Zainab binti Khuzaymah yang baru sahaja kematian suami yang gugur syahid di medan Uhud dan dia memliliki ramai anakPada tahun yang sama juga, Nabi Muhammad SAW mengahwini Saidatina Ummu Salamah atau nama sebenar beliau Hind binti Umayyah yang kematian suami di samping memiliki anak-anak yang masih kecil. Maka Rasulullah mengahwini mereka untuk untuk memberi perlindungan dan menjaga anak-anak mereka

Maka jelaslah bahawa perkahwinan-perkahwinan di atas antara tujuannya adalah untuk menjaga para isteri sahabat baginda yang telah gugur di medan perang agar para isteri yang ditinggalkan dan anak-anak yang menjadi yatim dapat dibela nasibnya oleh Rasulullah SAW.

Faktor Pensyariatan:

 

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq adalah berasaskan faktor pensyariatan kerana baginda telah bermimpi bahawa baginda mengahwini Saidatina Aisyah. Mimpi para Rasul adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT.

Maka menerusi mimpi ini, tahulah kita bahawa Allah memerintahkan Nabi SAW mengahwini puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq sekalipun jarak usia antara baginda dan Saidatina Aisyah adalah jauh. Ini sekali gus menjawab kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah.

Seterusnya perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Zaynab binti Jahsy pada tahun 5 Hijriah yang telah diceraikan oleh bekas suaminya Saidina Zayd bin Harithah yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW juga atas faktor pensyariatan.

Ini kerana Allah ingin menyatakan kepada umat Islam bahawa tidak berdosa sekiranya ayah angkat mengahwini isteri anak angkatnya setelah berlaku perceraian. Maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW menjelaskan perkara ini secara praktikal.

Ini jelas terpapar di dalam surah al-Ahzab ayat ke-37 yang bermaksud: Maka apabila Zayd telah selesai mendapatkan hajat daripada dia [iaitu setelah beliau selesai menceraikan isterinya], Kami telah mengahwinkan anda dengannya [iaitu bekas isteri Saidina Zayd] supaya tidak berlaku kesusahan ke atas orang mukmin untuk mereka mengahwini isteri-isteri kepada anak-anak angkat mereka setelah anak-anak angkat tersebut mendapatkan hajat daripada isteri-isteri mereka [iaitu setelah mereka menceraikan isteri-isteri mereka]. Sesungguhnya urusan Allah [iaitu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah] adalah berlaku.

Penulis ialah  Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah.

Faktor politik

Perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan sebahagian isteri baginda selepas itu adalah disebabkan faktor politik bagi mengelakkan permusuhan, menautkan hati musuh kepada keindahan Islam dan dapat menyebabkan pembebasan tawanan perang. Perkahwinan baginda dengan Saidatina Juwayriyah binti al-Harith yang bapanya adalah penghulu suku al-Mustoliq yang merupakan salah satu suku daripada kekeluargaan Khuza’ah adalah didasari faktor politik.

Antara pernikahan yang menatijahkan kejayaan besar buat dakwah ialah menerusi perkahwinan Baginda dengan Juwairiyah binti al-Harith.Juwairiyah adalah puteri bangsawan kepada al-Harith bin Dirar iaitu pemimpin Bani al-Mustaliq.Dengan pernikahan itu, Bani al-Mustaliq yang asalnya membenci dan sampai tahap memerangi umat Islam, akhirnya ramai yang masuk Islam.Nabi SAW sudah melihat potensi pernikahan itu untuk dakwah iaitu ia boleh meredakan kebencian kaum Bani al-Mustaliq kepada Islam, bahkan mencintai kebaikannya.

Dalam 10 tahun di Madinah, barulah Baginda berpoligami demi dakwah. Pernikahan itu tidak dibuat secara sembunyi.

Ia dilakukan secara terhormat dan berjaya memenangi serta menyatukan hati banyak kelompok yang suka bermusuhan sehingga tertanam rasa kekerabatan dengan Baginda.

Menilai dan dinilai. Fair and square

 Wahai anak2ku, suka abah berpesan. Pesanan ini abah nukilkan dari nasihat guru abah. Kita sentiasa menilai dan dinilai oleh orang sekitar kita. Dalam membuat penilaian kepada seseorang untuk mengenal "true colour" kelaku sesorang, perhatikan sekurang2nya pada 4 masa berikut :

1. Waktu makan. Lazimi makan dengan mereka. Perhatikan gelagat tingkah laku mereka ketika makan. Amat kerap dan sememangnya jika makanan yang istimewa, sedap selalu"dikuasai" oleh mereka maka fahamlah kita..itulah warna sebenar mereka iaitu suka mementingkan diri, tidak pedulikan pun ttg orang lain
2. Ketika marah. (Abah mmg marah betul..ini true colour abah hehehe). Tempat yang tak sewajarnya marah pun marah. Marahnya mengalahkan sang singa lapar yang luka parah.
3. Waktu bermusafir. Keraplah bermusafir bersama dalam jangka masa yang agak lama. Di sana kita akan lebih kenal wajah sebenar mereka. Keadaan waktu musafir agak susah. Makan minum, tempat tinggal dan lain2 keperluan agak terbatas. Perhatikan gelagat mereka. Tapi jangan lupa, kita juga dilihat dan dinilai "true colour" kita. 🙂
4. Waktu mereka mendapat rezeki yang tak diduga. Abah bagi contoh, katakan rakan anak2 abah mendapat kedudukan yg tinggi, seperti menjadi menteri, (hehehe)...sebelum mendapat rezeki tersebut anak2 melihat mereka baik, sopan, zuhud, halus budi bahasa...Nah perhatikan kelaku dan sikap mereka sebaik sahaja mendapat rezeki yang tak terduga itu, ke arah mana cenderung tindak laku dan perangai mereka. Itulah warna sebenar watak mereka. 😃



Luas yang selalu disempitkan

 

REZEKI

Pesan al-Syaikh al-Sya'rawi (1998M) rahimahullah :

Harta : adalah tahap rezeki paling rendah.

'Afiyah : adalah tahap rezeki paling tinggi.

Kesejahteraan anak-anak : adalah bentuk rezeki paling baik.

Redha Allah : adalah kesempurnaan rezeki.

Makna 'Afiyah, kata al-Imam al-Nawawi (676H) rahimahullah :

وَقَدْ كَثُرَتِ الْأَحَادِيثُ فِي الْأَمْرِ بِسُؤَالِ الْعَافِيَةِ وَهِيَ مِنَ الْأَلْفَاظِ الْعَامَّةِ الْمُتَنَاوِلَةِ لِدَفْعِ جَمِيعِ الْمَكْرُوهَاتِ فِي الْبَدَنِ وَالْبَاطِنِ فِي الدِّينِ وَالدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Terlalu banyak hadith-hadith yang menyarankan agar berdoa memohon ‘afiyah (kepada Allah Taala) dan (lafaz ‘afiyah) tersebut merupakan lafaz-lafaz yang umum dan terkandung di dalamnya (makna) ; menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin pada agama sama ada di dunia dan juga di akhirat.”
[al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]

Menyempurnakan Tanggungjawab

Membaca , ya sudah lama. Menyempurnakan tanggungjawab membaca masih bertatih. Terkadang bungkam, diam, bahkan tidak peduli. Dalam banyak masa dan ketika buat-buat faham.

حَقَّ تِلَاوَتِهٖۗ

Frasa dari surah al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud, "Membaca dengan sebenar-benar bacaan"

Lancar lagi  fasih menyebut. . 

Kita lanjutkan sedikit tuntutan kalimah itu.

Pembacaan al-Quran dengan sebenar-benar bacaan hendaklah berlaku perkongsian lidah, akal,  dan hati  di dalam pembacaan itu. 

Tanggungjawab dan peranan lidah ialah membetulkan sebutan huruf al-quran dengan bacaan tartil.

Tugas dan fungsi akal ialah memahami makna dan maksudnya.

Peranan, tanggungjawab, tugas dan fungsi hati pula ialah mengambil peringatan, pengajaran segala suruh larang Allah.

Setelah lidah, akal dan hati melunaskan tanggung jawab masing-masing, maka menjadi tugas anggota badan meninggalkan dan melaksanakan tuntutan Allah SWT.

Oleh itu setiap mukmin (orang Islam) mestilah menyedari bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan disampaikan kepada umatnya bukan hanya untuk dibaca dan dilagukan sahaja, bahkan untuk difahami, dihayati dan diamalkan/dilaksanakan.