Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 5

Subhanallah, Allahu akbar. Dah hampir pukul sepuluh. Matahari sudah meninggi. Sinar mentari pagi menembusi masuk melalui celah langsir menghangatkan ruang tidur aku. Dah kenapa tak berbunyi pulak jam ni. Aku dah kunci malam tadi nak bangun jam tujuh. Jam ni tak berbunyi ke, atau aku yang tak sedar?

Hari ni aku bercadang nak ke library. Nak betulkan tesis projek tahun akhir. Semalam dibentangkan. Alhamdulillah, tak banyak teguran.
Bergegas aku bersiap. Meneguk kopi semalam. Ahhh!!! sejuk, telan sahaja. Capai sebuku roti entah siapa punya, kira halal ye kawan-kawan.
Hidupkan motor, minyak dekat-dekat ‘E’. Cukup. Motor aku beli hasil pinjam duit dari kawan baik aku. Terima kasih kawan. Hanya Allah jualah yang membalas jasa baik mu.
Aku berlari-lari masuk library menuju ruang bawah, harap-harap ada komputer yang tidak digunakan siswa lain. Alhamdulillah. Aku terus duduk lalu memasukkan ‘disket’ ke dalam pemacu. Harap-harap sempat siap sebelum jam 3 petang, aku berkira-kira.
‘Awak! kita masih kawan kan?’
Suara yang pernah aku dengar. Suara itu suatu masa pernah memberi bahagia. Kini nada suara itu kembali bergema lantas membuka semula lipatan memori lalu.
Memori yang telah kutanam, sudah kubenam ke dalam lautan yang paling dalam. Telah kucampak jauh-jauh.
Aku terpegun seketika. Berpaling dan mendongak.
‘Awak, awak dengar saya tak?’
Wajahnya aku pandang dengan penuh tanda tanya. Aku tilik wajah itu lama, cukup lama. Boleh jadi kerana sekian lama aku tidak melihatnya dari dekat, atau boleh jadi aku rindu!
‘Awak, tolong dengar saya’
Sejujurnya aku keliru. Bingung dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba. Perlahan-lahan aku bangkit berdiri, mengorak senyum tipis kepadanya. Aku memandang, dan bergerak menghampirinya.
Dia mengukir senyum, lesung pipit menambah seri, manis seperti dulu.
‘Saya mohon maaf…, beri saya peluang ’
Semua orang layak mendapat kesempatan kedua, tetapi tidak untuk kesalahan yang sama. Biarlah luka berdarah tapi bukan di parut yang lama.
Adakah mendungkan berlalu? Biarlah masa yang menjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan