Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 6

Betul ke keadaan yang bersalah atau yang sebetulnya kita yang bermasalah. Rasanya tak de sebab nak salahkan keadaan, kerana keadaan sememangnya tidak pernah bersalah.

Semester lima bermula hambar. Hujung minggu itu, seperti mana hujung-hujung minggu sebelumnya, adalah antara hari-hari yang sangat membosankan dalam hidupku.  Tiada lagi yang istimewa. Aku tidak lagi mendiami kolej.  Aku tinggal menyewa di taman berhampiran.

Lari dari rasa kehilangan. Biarpun boleh jadi kehilangan dan pemergian itu adalah satu titik mula baru untuk kita bertemu dengan sesuatu yang bakal membuatkan kita mampu tersenyum lagi dan lagi.

Pandanglah dengan matahati yang jernih. Renunglah dengan naluri yang suci. Moga-moga kita lebih peduli.

Aku mula mendekati gerak kerja siswa melalui Persatuan Pelajar Luar Kampus (PLK). Kem Desa Siswa, Kembara dari Masjid ke Masjid, Bakti Siswa antara yang pernah disertai. Aktiviti-aktiviti baru macam best pula.

‘Mat, macam mana pengangkutan nanti?’ Tanya Penyelaras Program Bakti Siswa ke selatan tanah air yang akan berlangsung pada cuti semester nanti.

Bereh Boh, tunggu tayar nok ggolek jah, saya urus belako doh, 2 minggu lepah lagi, sat ggoba’

Mesyuarat, menyertai dan mengatur program-program untuk persatuan selain dari menghadiri kelas, amali, tutorial membuka dunia kampus aku  dengan lebih luas. Itulah dulu asyik berkepit 24 jam.  Ada juga yang  leka  dan terperap di dalam bilik, tidur dan tidur. Betul tak?

Di situ aku kenali dia. Fiza, dua tahun lebih dari usia aku. Tahun akhir, bakal guru.  Pada mulanya aku membahasakan dia sebagai kakak. Kadang-kadang cikgu. Kadang-kadang intan, payung, manis ….hehehe. Tak salahkan?. Hati pun masih belum berpenghuni sejak kejadian di rumah Mak Hana hampir setahun dulu.  

Bermula dengan berbalas senyum, kemudian tegur sapa sekadar terhad gerak kerja persatuan. Masa berlalu, selalu bersua dalam program-program persatuan akhirnya lama-lama menumbuh mesra, menyubur jiwa, menggembur cinta.

Dia takut akan jatuh cinta tetapi dia tidak tahu bahawa tidak akan jatuh cinta itulah cinta.

‘Awak, awak tak rasa pelik ke’?

‘Pelik apanya’?

‘Tentang kita’

‘Kenapa? Apa yang tak betulnya?’  Mengapa dengan kita’?

‘Awak, awakkan lebih muda dari saya?’

‘Awak, usia bukan soal bicara, ia cuma deretan angka . Kita menjadi dewasa melalui 
pembelajaran dan pengalaman bukan kerana usia semata. 
Kebahagian tidak ternilai pada beza usia kita. 
Cinta tidak mengenal masa, umur atau apa sahaja. Cinta itu seperti takdir. 
Berdua kita dalam takdir itu.’
Fiza menguntum senyum. Harum mewangi.
Cinta bukan soal usia tapi setia. Jarak masa atau jarak usia tak terasa 
jika awak dan saya seia sekata.
 
‘Saya minta diri’
‘Semua bangun, terima kasih cikgu’. Lagak aku bagai ketua kelas.
Dia ketawa.
Dan itulah senyum dan tawanya yang terakhir aku saksikan, Fiza, 
gadis di pinggir penantianku. 
Khabar terakhir yang aku terima, dia ditempatkan di Negeri Di Bawah Bayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan