Tuhan menganugerahkan berbagai pengalaman untuk kita. Merencahkan hidup untuk kita makhlukNya. Suka, duka, tangis juga tawa. Cukup rasa.
Hari berganti minggu, minggu pun
berganti menjadi bulan, bulan bertukar tahun. Perjalanan detik waktu silih
berganti. Kita semakin dewasa. Perjalanan mendewasa ini seringkali menemukan
kita dengan perkara di luar jangka.
‘Apa khabar Dr Zul?’ Aku menduga.
‘Dah kenapa awak bertanya tentang
dia, dia bukan pilihan saya, pilihan mak’
‘Selepas hampir setahun tiba-tiba
beralih menjadi pilihan mak’. Aku menembak. Melepas amarah yang lama
terbungkam di dada. Puas aku rasa.
‘Awak tu yang melulu, terburu-buru,
keluar dari kolej, tukar kursus pengajian. Banyak kali saya sampaikan pesan,
awak membisu. Bertembung di fakulti ke, library ke, café ke awak ubah
arah atau pura-pura tak nampak saya, ada awak nak tanya tentang saya!’
Amboi! orang perempuan ni. Dia
sahaja yang betul.
‘Dah tu di mana letak duduk saya hampir
setahun dulu, masa hari raya di rumah mak awak dulu!’ Aku mengungkit
‘Kawan sekelas’ kan!!!!. Dua tahun
kita bina, dua tahun kita harungi bersama, dua tahun kita pertahankan, dua tahun kita
berkongsi cerita dan rasa, dua tahun tau, satu tempoh masa yang cukup panjang, tiba-tiba hari tu di depan Dr Zul, yang awak kata pilihan mak awak tu, saya sekadar rakan sekelas, itu sahaja nilai saya pada awak. Saya rasa saya cukup
tidak bernilai di sisi awak pada masa tu, seperti sampah, terbuang!!!’ Panjang
aku bersyarah.
‘Saya tiada pilihan, saya tersepit dengan
pilihan keluarga dan awak pula tiba-tiba pergi, menghilang, menjauh. Ada macam tiada. Di mana lagi saya
nak mengadu, di mana lagi saya nak luahkan rasa? Hah di mana?’
‘Awak, awak tak rasa apa yang rasa,
awak……..’. Hana sebak menahan tangis.
Luka tidak bersuara, air mata gugur
tanpa bicara. Kadang-kadang air mata
adalah satu-satunya cara bagaimana mata
berbicara ketika bibir tidak mampu mengungkap kata apa yang telah membuatkan
perasaan terluka.
Aku terdiam. Ruang café berhawa
dingin seakan membeku. Pertemuan kadang-kadang membahagiakan, ada masa-masa
memeritkan.
Jika
maaf itu itu membawa bahagia, maka maafkanlah. Kiranya maaf itu menumbuhkan
rasa, maafkanlah segalanya. Sombong dan ego tak bawa kita ke mana-mana.
Dan maafkan
aku Hana. Sempurnakanlah hasrat ibumu. Keluargamu. Pujuk diri, pujuk hati, usah meratapi. Aku tak
apa-apa. Dia lebih memerlukanmu. Bahagiakan dia.
Aku tak apa-apa? Aku baik-baik saja? Ataukah aku
berpura-pura?
Entahlah, persoalan yang masih belum terjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan