Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 15

 

Hampir sebulan aku di sini, menghuni daerah perbukitan. Jauh lagi terasing. Hari-hari berlalu amat membosankan. Tiada yang istimewa di sini. Tawar dan hambar. Menambah rasa jengkel dan cuak selepas dalam tempoh tak sampai sebulan di arah berpindah rumah tiga kali. Macam-macam alasan, sekali macam ni, sekali macam tu. Geram.

Tiada apa-apa di sini. Sehabis waktu persekolahan tiada apa yang boleh aku perbuat. Masa yang ada terluang kosong mengheret aku ke gaung rindu. Rindu pepohon kelapa melambai-lambai, ombak laut menghempas pantai, angin laut yang berpupuk lembut dan damai menyanyikan lagu alam. Rindu Fiqa yang menghilang entah ke mana, yang tinggal cuma kenangan, bertahan selamanya. Yang tinggal cuma sedih dan sepi. Menjadi manusia sememangnya wajar untuk merasai kesepian, kesedihan, kerana kita bukan orang-orangan yang hanya tegak kaku.

‘Bila nak kahwin’, sapa rakan sejawat sewaktu menikmati sarapan di kantin. Aku seperti hari-hari sebelum ni, diam, malas nak layan.

‘Nanti lambat-lambat, esok-esok hantar anak ke sekolah, karang orang tegur, hantar cucu ke pak cik?’. Tambah yang lain. Riuh kantin dengan gelak ketawa mereka membakar rasa aku.

 ‘Apa masalah korang ni, kalau korang rasa nak kawin lagi, kawin aje lah’. Aku mula baran. Sejak dari minggu pertama asyik ulang soal yang sama. Aku menyampah.

‘Kami ni nak tolong, nak tengok kawan-kawan, tak le keseorangan’, jawab salah seorang.

‘Kalau korang beria sangat, pergi pinang ustazah tu untuk aku’. Aku tinggikan suara, menyampah sungguh. Selera makan pagi ni terencat.

‘Sungguh ke ni?’

‘Aiik, dah sebulan beria-ria tanya, tiba-tiba tanya aku balik, ye ke tidak?, Memang korang tak boleh pakai, sembang je lebih.’

Aku bergegas meninggalkan kantin, semakin dilayan mereka semakin aku hangat. Aku bergerak ke bilik persediaan makmal.

‘Cikgu, dah sarapan ke?’

‘Dah akak, dari kantin tadi hah!’

‘Cikgu, kalau saya tanya boleh ke?’

‘Dah tu sebelum ni, tak boleh ke, salah ke?’

‘Hehehehe…’

‘Apa dia akak?’

‘Cikgu dah ada ke?’

‘Ada apa pula akak?’

‘Kawan istimewa…hehehehe’

‘Tak de akak. Entahlah akak, dah malas dah nak bercinta. Akak ada kenal siapa-siapa ke?’

‘Kalau akak kenalkan sepupu akak macam mana, cikgu juga?’

‘Boleh aje akak, kalau orang nak kat kita ni hah!’

‘Baiklah, nanti cuti sekolah minggu depan akan cuba tanya.’

‘Ok aje akak, tapi saya malas dah nak berharap. Penat. Saya masuk kelas dulu.’

 

Entahlah, aku dah malas nak layan bab-bab jodoh ni. Biarlah. Aku bimbang kesilapan lama berulang dan akhirnya aku sendiri yang tersiksa menanggung luka lama dan merawat luka baharu. Kalau dah jodoh tak ke mana.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 14

 

Cinta memang tak terduga, serba tiba-tiba. Datang dan pergi. Lagi dan lagi.  Cinta memang di luar jangka. Datang pada tempat yang tak dijangka, pada saat yang tak dijangka bahkan pada orang yang tak terjangkakan.

Jarak Kuala Terengganu - Dungun tidak menghalang aku untuk sekali-sekala datang bersua, melepaskan rindu yang terbuku di kalbu. Pantai itu menjadi saksi tentang teguh dan utuh simpul kasih kami, tak teruraikan. Pepasir dan pantai adalah kata-kata indah yang mewakili cinta kita, tak terpisahkan. Cinta kami sentiasa berdebur bagaikan ombak. Setia menghempas pantai. Selamanya.

Dedaun kuning berguguran ditiup angin senja. Mentari senja itu kemerahan, kelihatan layu. Kedatangan senja yang menenggelamkan matahari mengajarkan aku, bahawa segala sesuatu tiada yang abadi. Musim berganti. Fiqa hanyalah angin senja, sekadar singgah menyapa kemudian pergi.

Di senja itu, senja tanpamu. Entah di mana silapnya, aku tak pasti dan akhirnya aku sendiri tercampak dan terdampar sepi. Terdampar menanggung luka lama, luka baru menambah perit.

Senja datang lagi, dan senja itu untuk kesekian kalinya aku masih sama, lelaki yang sudah lupa cara berbahagia.

Setahun masa berlalu. Terlalu singkat. Sebuah pertemuan yang singkat untuk kerinduan yang panjang. Pada akhirnya senja semakin menjauh. Namum ia tidak pernah melenyapkan cintaku padanya. Dan pada senja itu, akhirnya aku mengaku kalah.

Bumi Terengganu aku tinggalkan. Penyu menangis siapa yang tahu.

7 Julai, 1997 aku jejaki Bumi Mat Kilau, Pahang, Daerah Jengka, selepas aku menolak untuk melapor diri di Bumi Kenyalang yang sepatutnya bulan Mei aku seharusnya berada di sana. Tawaran ke sana aku tolak.

 Sekitar 5.30 pagi, isnin, Bas Jengka Ekspres dari Kota Bharu tiba di Jengka. Sunyi amat bandarnya. Sepi, sesepi hatiku tak berpenghuni. Stesen bas pun terlihat usang dengan tandas tak terjaga. Huh...

 Seperti hentian bas di tempat lain, sebaik turun dari bas aku disapa oleh pemandu teksi. Aku hanya membalas dengan sedikit senyuman. Tawar. Hambar. 

 Seusai solat subuh, aku termenung, masih kabur di manakah destinasi Lepar Utara.

 Aku berkira-berkira untuk mengambil bas ke Lepar Utara selepas aku maklum tambang teksi adalah RM50.00 selepas diskaun. Mahalnya, mungkin awal pagi agaknya getus hati. 

 ‘Cikgu, tambangnya sama ada tengah hari atau pagi sama sahaja, maklum abang teksi’.

Aiik! tau pulak dia ya bisikan hati aku, 'membela' ke apa ke??? Huhuhuhu. Sangka buruk betul aku ni, sian abang teksi, orang Jengka 1.

‘Tak pe lah abang saya ambil bas je.’ Berjimat.

Tertera pada notis kaunter bas, jam 11.00 baru ada perjalanan ke Lepar Utara. Allah! sekarang jam 6.00 pagi, aku menjeling jam di tangan. Jam hadiah hari lahirku dari Fiqa. Akukan lelaki setia.

Macam mana ni, kalau aku ambil teksi, rabak poket, baki wang dalam poket tak berapa tebal. Gaji pertama paling awal 3 bulan. Aku berkira-kira. 

Dalam masa aku ligat berfikir, abang teksi mencelah 'hampir 2 jam juga masa perjalanan ke situ kalau cikgu naik bas', memujuk agaknya.

'Baiklah, jom...'

 Melayang RM 50.00

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 13


Baiklah mek, akan ku sempurnakan hasratmu. Restumu ku pohon dalam mendepani hidupku. Moga-moga dengan restu izinmu aku mampu melangkah gagah, setabah hatimu ibu.

Muktamad. Tiada lagi ragu. Percaya lagi yakin. Walaupun kadang-kadang rasa kesal, sedih, kecewa gelisah, risau gundah dan kacau. Memang episod-episod itu tak boleh kita nak elak.

Jalan terus, penuh tekad, azam dan nekad. Usah lagi bertangguh. Cipta masa depan yang lebih baik seiring dengan hajat ibu. Masa lalu tak boleh diubah, pun begitu masa depan tidak boleh diramal

Kita masih ada hari ini, detik, waktu dan ketika ini untuk ditempuhi dengan sebaiknya bagi melakar kejayaan dan ketenangan dalam hidup, lebih-lebih lagi bersama doa seorang ibu. Hijrah, ye hijrah. Bila hijrah yang kita lakukan murni kerana Dia, maka kita teruskan melangkah, meskipun dalam keadaan lelah. Tawakal.

‘Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Di Bandar Dungun aku tinggal menyewa di Sura Gate bersama seorang rakan sejawat. Bandar kecil yang damai, berhampiran pantai. Pada kesempatan tertentu aku mengunjungi pantai. Tanjung Jara pastinya selain pantai berhampiran ITM (UiTM) cawangan Dungun. Pantai Teluk Lipat dan Pantai Sura.

Di sini aku temui Fiqa, gadis kelahiran Pasir Puteh. Pertemuan yang membibitkan rasa sayang dan ingin memiliki. Cinta adalah bunga kehidupan yang mekar tak terduga.  

Pertemuan yang tak disengajakan dengan orang yang tak terduga terjadi begitu sahaja. Tiada hukum fizik yang mengaturnya. Cinta bukan sebuah perancangan. Seperti kebetulan. Ia hadir pada saat mata dan hati berintraksi saling berintraksi, saling memahami.

Melihat senyummu adalah kebahagiaan buatku, memilikimu adalah hadiah teristimewa dan paling indah dalam hidupku.

‘Awak, saya mendapat tawaran belajar di Maktab Perguruan’, aku sampaikan berita gembira kepada Fiqa

‘Wah, bestnya, tahniah!!, tercapai cita-cita awak, saya tumpang berbahagia’.

‘Dan hajat ibu saya, terima kasih’

‘Kat mana ye?’

‘Alhamdulillah, masih di negeri ini, negeri yang menemukan kita, Terengganu, Kuala Terengganu, Batu Rakit.’

Fiza menguntum senyum. Aku juga. Dunia kami berpelangi, indah.

 

Pohon sena, pohon meranti

Di tengah-tengah, di tengah-tengah buluh perindu

Adik di sana, Abang di sini

Di tengah-tengah rindu menderu

 

Hujan di hulu, tak reda-reda

Ributlah turun, ributlah turun bertalu-talu

Abang di hulu, adik di kuala

Ku hanyut rindu, ku hanyut rindu dalam perahu

(Roslan Madun)

 

Rindu lagi.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 12

 

Mungkin titik kita berdiri sekarang tidaklah di posisi yang pernah kita terbayangkan suatu ketika dulu, tetapi ternyata posisi sekarang telah mendewasakan seorang kita yang lebih tenang.

 Semakin usia mendewasa, semakin sukar membuat keputusan, horizon kehidupan semakin luas dan bertambah kompleks. Kehidupan kita penuh dengan pilihan dan keputusan.  Justeru tidak dapat tidak, menuntut kita memaksimakan pertimbangan akal walaupun akal sangat terbatas.

Bagaimana jika keputusan yang bakal dibuat ini silap?

Bagaimana andai keputusan ini mengundang kegagalan?

Bagaimana kalau keputusan ini tidak berhasil?

Bagaimana?...

Bagaimana?... 

Diasak dengan persoalan-persoalan.

Jiwa rapuh itu harus berdiri teguh, seteguh karang di lautan, biarpun ombak membadai tak henti-henti.

Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua. Pesan Buya Hamka, ku semat di dada.

Permintaan mek masih jelas kedengaran. Kata-kata mek cukup berbekas. Terbenam dan tertanam di dalam jiwa. Memenuhi seluruh ruang hati. 

Kata-kata adalah makhluk yang cukup berkuasa.

Kata-kata boleh menyejukkan, mendamaikan, membina dan menginspirasi.

Kata-kata juga boleh meruntuh, membakar, meranapkan bahkan membunuh.

Jadi apa keputusannya?

Fikir panjang.

Bertenang.

Bertindak dengan pertimbangan matang dan rasional.

Ketepikan emosional. Cabaran hidup bagaikan ombak, datang dan pergi, silih berganti.

Segamat, Kuala Pilah atau Dungun????

Takut untuk melangkah itu biasa, tetapi jangan biarkan ketakutan menghentikan langkah.

Aku masih sangsi dengan keputusan yang bakal dibuat. Ruang yang luas seakan sempit.  Ku capai diari yang lama tak bertulis, helaian demi helaian aku buka.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 11

 

Selamat tinggal KL, Kota raya yang tak pernah diam, kota raya yang tidak pernah lesu, kota raya yang menjanjikan sejuta rasa.

Kuala Lumpur,

Kota seribu luka

Kota jiwa lara.

‘Pok Ya, aku fikir ini bulan terakhir aku tinggal di sini’

‘Doh bakpo, mung nok gi man0?’

‘Aku nak jadi cikgu’

Hah!!??? Engkau dah hilang akal? Gila ke apa ke? Dulu masa habis belajar engkau dapat tawaran Diploma Pendidikan engkau tolak dah kenapa? Tiba-tiba hari ni buang tebiat?

Aku tidak menjawab.

Tak mengapalah, yang sudah tu sudahlah, kita sudahkan perkara yang belum sudah. Itu keputusan dulu. Ada ketikanya kita berubah hati hanya oleh kerana sebuah ucapan, sebuah harapan.

Minggu lepas aku balik kampung.

Ayer Lanas, Jeli, Kelantan. Kampung halaman aku membesar dan mendewasa. Aku benar-benar terasa damai di sini, dan di sinilah yang menjadikan aku hari ini.

Selalu-selalulah jenguk kampung halaman, maka kita menemukan banyak momen-momen yang tidak ternilai harganya. Ketika kita akhirnya kembali ke halaman kita membesar, kita akan menemukan itu, bukan kampung laman yang kita rindukan, tetapi masa kecil kita.  Kampung halamanku adalah inspirasi terbesarku.

Di atas pangkin, di depan rumah bersembang-sembang aku dengan mek. Ye lah sejak aku berkerja ini pertama kali aku balik. Banyak topik yang kami dibicarakan.  

 Mek nakkan anak-anak mek dapat belajar tinggi, amanah arwah ayahmu, mek dah sempurnakan. Alhamdulillah kamu dah berjaya.

 ‘Terima kasih mek’

 Fasih dan lancar dihitung seorang demi seorang anak jiran yang juga rakan sepermainan aku yang menjadi cikgu. Anak mek ada lapan orang. Seorang pun tak ada yang jadi cikgu.

Melihat kepada riak wajah dan nada bicara mek yang sangat berharap, aku terkebil-kebil. Diam membisu. Mendongak melihat langit biru, menarik nafas yang  paling dalam. Perlahan-lahan aku melepaskan nafas yang panjang.

 Mengaru-garu kepala yang tak gatal. Masa tu rambut panjang, maklum la zaman rock kapak tetapi sekarang dah nak botak.

Rasa kosong, kehilangan makna, rasa berdosa jika menghampakan hasrat hajat bonda tercinta.

 Aku keliru,  kepuasan sendiri atau menyempurnakan hajat mek.

 Lama aku menghitung, mencongak, dan mengira. Buntu. Tiada jawapan, walaupun aku pernah jadi pakar rujuk subjek Matematik. Sifir kehidupan tidak mudah.

‘Bagi saya masa Mek’.

 Sedikit masa.

Allah mencipta semua peristiwa sesuai dengan tujuan Ilahiah dan terdapat kebaikan dalam apa sahaja yang diciptakan oleh Allah sama ada kebaikan yang boleh dicerna dan difahami oleh kita atau tidak.

Melangkah ke jalur kehidupan baru itu susah, tetapi tidak sesulit untuk terus bertahan dalam situasi hari ini.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 10

 Mana pula jatuh cicak tadi? Puas aku mencari sekitar timbunan kotak di penjuru bilik. Ajaib ni. Biarlah dia, siapa suruh kacau mood blues aku. Ngee!!!!. Bersendirian di bilik melayan lagu-lagu rock kapak berlirik jiwang menyeret aku jauh ke belakang. Detik-detik manis membuatkan aku senyum sendiri. Mmmm, Biarlah berlalu.

Kita ni manusia yang lemah lagi daif. Jauh dari sempurna.
Walau bagaimana sekali pun corak perjalanan hidup kita, jangan pernah berhenti berusaha. Menyebut hal ini bukan semudah melakukannya.
Tetapi bagi aku, kita perlu kekalkan mode berusaha untuk terus berbuat yang terbaik, lebih giat lagi. Bukannya beralasan dengan seribu satu dalih yang akhirnya merugikan kita.
Setiap detik perjalanan kehidupan kita, sama ada payau, tawar, manis, masin , kelat mahu pun seribu satu rasa ia adalah ibrah dan pengajaran. Hari ini rasanya pahit, sedih, terluka, kecewa, tawar serta hambar tetapi mungkin pada masa akan datang detik itu adalah saat yang paling manis, bahagia bagi kita selepas berjaya merentasinya. Percayalah.
Tahun ke lapan aku di sini. Jatuh bangun, pahit manis dengan izinMu Tuhan, mampu aku bertatih.
Banyak yang aku belajar. Memberi dan menerima. Kata-kata sabar dan ikhlas sering diucapkan untuk meringankan ujian hidup, tetapi melaksanakannya tidak mudah.
Kegagalan dulu satu pergajaran, bagi aku ia adalah satu titik untuk mula kembali. Buat semula. Kembali bermula dengan tekad dan azam baru.
Perbaiki ruang kelemahan. Ikhtiar dan fikir jalan yang terbaik. Mulakan dengan niat yang teguh. Belajar dari sejarah kegagalan. Susuli dengan tawakal.
Kegagalan satu ilmu. Dalam usaha kita merealisasikan hasrat dan tekad, cita-cita yang menggunung, kita akan berdepan dengan pelbagai rintangan, kekecewaan, kegagalan, ujian yang tidak di sangka-sangka yang tidak henti-henti. Belajarlah.
Belajarlah dari kehidupan, bukan sekadar dalam dewan kuliah. Alam jadikan pedoman. Alam telah hidup berjuta-juta ribu tahun yang lalu, jadi ia cukup bijak untuk mengajar kita pelbagai kehidupan sesuatu yang di luar dari orang yang kita fikir bijak.
Belajar dari kegagalan masa lalu di hari ini untuk masa depan yang lebih baik.
"Dan ketahuilah, sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran. Dan sesudah kesulitan pasti akan ada kemudahan” Pesan Junjungan Mulia.
Ya Allah, Aku lemah, kerdil lagi daif Ya Allah, dan dalam banyak hal aku lupa lalai dan alpa Ya Allah, rahmat dan keampunanMu ku pohon. Beri aku petunjukMu dan kekuatan Ya Allah. Aamin.
Aku harus beredar dari bumi Kuala Lumpur ini, segera!
Muktamad.
Terima kasih Kuala Lumpur.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 9.

 

Hanya ada satu hal yang menyebabkan impian tidak mungkin tercapai; takut akan kegagalan. Hidupkan impian kita sama ada besar atau kecil untuk kita keluar dari keselesaan, untuk meraih pelbagai kejayaan.

Sebaik habis belajar, aku berkerja. Juga di kota raya metropolitan, Kuala Lumpur. Tinggal menyewa berdua, lebih privacy. Rumah teres setingkat, tiga bilik, tinggal bersama Pok Ya.

Sesudah subuh lagi keluar rumah, malam jam 11.00 baru nak kenal pintu rumah semula, kadang-kadang dinihari. Macam burung, keluar pagi-pagi,  pulang tatkala senja merangkak tiba.  Dua puluh empat jam sibuk. Siang malam berlari-lari mengejar masa, mengah sendiri yang rasa. Ruang yang luas terasa amat sempit, jiwa terhimpit. Perit.

Dulu aku fikir, seronoknya bila dah kerja, boleh buat apa saja yang kita suka, rupanya lebih sibuk dari aku jangka. Best lagi zaman belajar. Ada masa boleh lepak-lepak dengan kawan-kawan, jalan-jalan dengan si dia, oh!! bahagianya.  Masa kita kecil kita membayangkan kebahagiaan ada di depan kita, dan kita rasa sangat ingin cepat dewasa. Kita rasa jadi orang dewasa itu bahagia.

Ketika masa kecil kita, kita leka bermain, baik dengan kawan-kawan di sekolah, atau teman sebaya dekat rumah. Banyak momen-momen indah tercipta di saat kita kecil. Bahagianya menjadi anak kecil. Kenangan masa kecil adalah mimpi yang tinggal bersama kita setelah kita bangun.  Eh-eh! masa bahagia berada di belakang pula.

Pok Ya pun jarang berada di rumah pada hujung minggu. Dia dah bertunang, jadi ke mana lagi kalau tak keluar dengan tunangnya yang cantik manis tu. Untung dia. Aku….??? Allergic dengan perempuan. Hehehehe

Dah masuk tiga bulan aku berpindah ke rumah ni. Sambil baring-baring aku melayan mood kosong di hujung minggu. Aku bingkas bangun, perut minta di alas, malas pula nak keluar. Nak ajak Awi, dia dah lama keluar.

Aku bergerak ke dapur, buat secawan kopi.  Hanya secangkir kopi menyajikan rasa manis bukan dari bibir yang terlihat manis. Segelas kopi bercerita kepadaku bahawa yang hitam tidak selalu kotor dan yang pahit tidak selalu menyedihkan. Nikmati kopi sepuasnya.

Di meja tulis aku termenung. Sendirian. Terkebil- kebil memandang siling rumah, tiba-tiba terlihat dua ekor cicak berkejaran. Sepasang kekasih agaknya.

Cis!! Ini dah lebih. Siap engkau!!! Engkau menyindir aku ye???

Nah! Amik engkau, tepat mengena. Aku fikir yang kena tu cicak jantan, menjanda dah bini dia.

Hahahaha…. Puas hati aku.

Dengan cicak pun boleh terbakar jiwa, adoiii….

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 8

Aku pernah kecewa dan aku pernah terluka. Tapi di sebalik itu semua, aku yakin dan percaya itu adalah cara Tuhan untuk membuatku dewasa. Kekecewaan ada ketikanya mengajar kita erti kehidupan

1996, nekad meninggalkan Lembah Klang. 8 tahun aku di sini. Belajar dan bekerja. Belajar tentang  hidup dan kehidupan. Belajar membina upaya diri.

Jangan pernah menyesali apa yang datang dalam hidup kita. Hari-hari baik memberi kita kebahagiaan dan hari-hari duka memberi pengalaman. Begitulah resam hidup.

Dan kini,

Tiada lagi gadis soya,

Hilang sudah cerita Hana, gadis kolej.

Berlalu pergi gadis di pinggir penantian yang tak kunjung tiba,

Lenyap entah  ke mana,

Ghaib.

Yang tinggal aku dengan seribu luka berparut di dada.

Luka yang mendewasakan.

Luka yang mendamaikan.

Luka yang mematangkan.

Luka yang menumbuhkan jiwa.

Luka yang menghidupkan.

Dan hidup ini untuk Tuhan, teruskan berbuat baik dan biarlah kebaikan terus berjalan.

Boleh jadi ketika kita tidur, pintu-pintu langit sedang diketuk oleh puluhan doa kebaikan untuk kita, dari seorang fakir yang pernah kita tolong.

Atau dari orang kelaparan yang telah kita beri makan,

Atau dari seorang sedih yang telah kita bahagiakan.

Atau dari seorang kesusahan yang telah kita lapangkan. Maka janganlah kita sekali-kali  meremehkan sebuah kebaikan.

Percayalah, ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu-pintu akan lain terbuka. Cuma kerap kali kita terlalu asyik melihat terlalu lama pada pintu yang tertutup membuatkan  kita tidak melihat pintu-pintu lain yang terbuka luas untuk kita.

Tidak ada yang kebetulan yang berlaku di dunia ini. Setiap pertemuan, perkenalan, kehilangan dan pemergian pasti di atur sedemikian rupa. Tuhan tidak pernah menjadikan takdir tanpa tujuan.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 7

 Tuhan menganugerahkan berbagai pengalaman untuk kita. Merencahkan hidup untuk kita makhlukNya. Suka, duka, tangis juga tawa. Cukup rasa.

Hari berganti minggu, minggu pun berganti menjadi bulan, bulan bertukar tahun. Perjalanan detik waktu silih berganti. Kita semakin dewasa. Perjalanan mendewasa ini seringkali menemukan kita dengan perkara di luar jangka.

‘Apa khabar Dr Zul?’ Aku menduga.

‘Dah kenapa awak bertanya tentang dia, dia bukan pilihan saya, pilihan mak’

‘Selepas hampir setahun tiba-tiba beralih menjadi pilihan mak’. Aku menembak. Melepas amarah yang lama terbungkam di dada. Puas aku rasa.

‘Awak tu yang melulu, terburu-buru, keluar dari kolej, tukar kursus pengajian. Banyak kali saya sampaikan pesan, awak membisu. Bertembung di fakulti ke, library ke, café ke awak ubah arah atau pura-pura tak nampak saya, ada awak nak tanya tentang saya!’

Amboi! orang perempuan ni. Dia sahaja yang betul.

‘Dah tu di mana letak duduk saya hampir setahun dulu, masa hari raya di rumah mak awak dulu!’ Aku mengungkit

‘Kawan sekelas’ kan!!!!. Dua tahun kita bina, dua tahun kita harungi bersama, dua tahun kita pertahankan, dua tahun kita berkongsi  cerita dan rasa, dua tahun tau, satu tempoh masa yang cukup panjang,  tiba-tiba hari tu di depan Dr Zul,  yang awak kata pilihan mak awak tu,  saya sekadar rakan sekelas, itu  sahaja nilai saya pada awak. Saya rasa saya cukup tidak bernilai di sisi awak pada masa tu, seperti sampah, terbuang!!!’ Panjang aku bersyarah.

‘Saya tiada pilihan, saya tersepit dengan pilihan keluarga dan awak pula tiba-tiba pergi, menghilang,  menjauh. Ada macam tiada. Di mana lagi saya nak mengadu, di mana lagi saya nak luahkan rasa? Hah di mana?’

‘Awak, awak tak rasa apa yang rasa, awak……..’. Hana sebak menahan tangis.

Luka tidak bersuara, air mata gugur tanpa bicara.  Kadang-kadang air mata adalah satu-satunya cara bagaimana mata  berbicara ketika bibir tidak mampu mengungkap kata apa yang telah membuatkan perasaan terluka.

Aku terdiam. Ruang café berhawa dingin seakan membeku. Pertemuan kadang-kadang membahagiakan, ada masa-masa memeritkan. 

Jika maaf itu itu membawa bahagia, maka maafkanlah. Kiranya maaf itu menumbuhkan rasa, maafkanlah segalanya. Sombong dan ego tak bawa kita ke mana-mana.

Dan maafkan aku Hana. Sempurnakanlah hasrat ibumu. Keluargamu.  Pujuk diri, pujuk hati, usah meratapi. Aku tak apa-apa. Dia lebih memerlukanmu. Bahagiakan dia.

Aku tak apa-apa? Aku baik-baik saja? Ataukah aku berpura-pura?

Entahlah, persoalan yang masih belum terjawab.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 6

Betul ke keadaan yang bersalah atau yang sebetulnya kita yang bermasalah. Rasanya tak de sebab nak salahkan keadaan, kerana keadaan sememangnya tidak pernah bersalah.

Semester lima bermula hambar. Hujung minggu itu, seperti mana hujung-hujung minggu sebelumnya, adalah antara hari-hari yang sangat membosankan dalam hidupku.  Tiada lagi yang istimewa. Aku tidak lagi mendiami kolej.  Aku tinggal menyewa di taman berhampiran.

Lari dari rasa kehilangan. Biarpun boleh jadi kehilangan dan pemergian itu adalah satu titik mula baru untuk kita bertemu dengan sesuatu yang bakal membuatkan kita mampu tersenyum lagi dan lagi.

Pandanglah dengan matahati yang jernih. Renunglah dengan naluri yang suci. Moga-moga kita lebih peduli.

Aku mula mendekati gerak kerja siswa melalui Persatuan Pelajar Luar Kampus (PLK). Kem Desa Siswa, Kembara dari Masjid ke Masjid, Bakti Siswa antara yang pernah disertai. Aktiviti-aktiviti baru macam best pula.

‘Mat, macam mana pengangkutan nanti?’ Tanya Penyelaras Program Bakti Siswa ke selatan tanah air yang akan berlangsung pada cuti semester nanti.

Bereh Boh, tunggu tayar nok ggolek jah, saya urus belako doh, 2 minggu lepah lagi, sat ggoba’

Mesyuarat, menyertai dan mengatur program-program untuk persatuan selain dari menghadiri kelas, amali, tutorial membuka dunia kampus aku  dengan lebih luas. Itulah dulu asyik berkepit 24 jam.  Ada juga yang  leka  dan terperap di dalam bilik, tidur dan tidur. Betul tak?

Di situ aku kenali dia. Fiza, dua tahun lebih dari usia aku. Tahun akhir, bakal guru.  Pada mulanya aku membahasakan dia sebagai kakak. Kadang-kadang cikgu. Kadang-kadang intan, payung, manis ….hehehe. Tak salahkan?. Hati pun masih belum berpenghuni sejak kejadian di rumah Mak Hana hampir setahun dulu.  

Bermula dengan berbalas senyum, kemudian tegur sapa sekadar terhad gerak kerja persatuan. Masa berlalu, selalu bersua dalam program-program persatuan akhirnya lama-lama menumbuh mesra, menyubur jiwa, menggembur cinta.

Dia takut akan jatuh cinta tetapi dia tidak tahu bahawa tidak akan jatuh cinta itulah cinta.

‘Awak, awak tak rasa pelik ke’?

‘Pelik apanya’?

‘Tentang kita’

‘Kenapa? Apa yang tak betulnya?’  Mengapa dengan kita’?

‘Awak, awakkan lebih muda dari saya?’

‘Awak, usia bukan soal bicara, ia cuma deretan angka . Kita menjadi dewasa melalui 
pembelajaran dan pengalaman bukan kerana usia semata. 
Kebahagian tidak ternilai pada beza usia kita. 
Cinta tidak mengenal masa, umur atau apa sahaja. Cinta itu seperti takdir. 
Berdua kita dalam takdir itu.’
Fiza menguntum senyum. Harum mewangi.
Cinta bukan soal usia tapi setia. Jarak masa atau jarak usia tak terasa 
jika awak dan saya seia sekata.
 
‘Saya minta diri’
‘Semua bangun, terima kasih cikgu’. Lagak aku bagai ketua kelas.
Dia ketawa.
Dan itulah senyum dan tawanya yang terakhir aku saksikan, Fiza, 
gadis di pinggir penantianku. 
Khabar terakhir yang aku terima, dia ditempatkan di Negeri Di Bawah Bayu.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 5

Subhanallah, Allahu akbar. Dah hampir pukul sepuluh. Matahari sudah meninggi. Sinar mentari pagi menembusi masuk melalui celah langsir menghangatkan ruang tidur aku. Dah kenapa tak berbunyi pulak jam ni. Aku dah kunci malam tadi nak bangun jam tujuh. Jam ni tak berbunyi ke, atau aku yang tak sedar?

Hari ni aku bercadang nak ke library. Nak betulkan tesis projek tahun akhir. Semalam dibentangkan. Alhamdulillah, tak banyak teguran.
Bergegas aku bersiap. Meneguk kopi semalam. Ahhh!!! sejuk, telan sahaja. Capai sebuku roti entah siapa punya, kira halal ye kawan-kawan.
Hidupkan motor, minyak dekat-dekat ‘E’. Cukup. Motor aku beli hasil pinjam duit dari kawan baik aku. Terima kasih kawan. Hanya Allah jualah yang membalas jasa baik mu.
Aku berlari-lari masuk library menuju ruang bawah, harap-harap ada komputer yang tidak digunakan siswa lain. Alhamdulillah. Aku terus duduk lalu memasukkan ‘disket’ ke dalam pemacu. Harap-harap sempat siap sebelum jam 3 petang, aku berkira-kira.
‘Awak! kita masih kawan kan?’
Suara yang pernah aku dengar. Suara itu suatu masa pernah memberi bahagia. Kini nada suara itu kembali bergema lantas membuka semula lipatan memori lalu.
Memori yang telah kutanam, sudah kubenam ke dalam lautan yang paling dalam. Telah kucampak jauh-jauh.
Aku terpegun seketika. Berpaling dan mendongak.
‘Awak, awak dengar saya tak?’
Wajahnya aku pandang dengan penuh tanda tanya. Aku tilik wajah itu lama, cukup lama. Boleh jadi kerana sekian lama aku tidak melihatnya dari dekat, atau boleh jadi aku rindu!
‘Awak, tolong dengar saya’
Sejujurnya aku keliru. Bingung dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba. Perlahan-lahan aku bangkit berdiri, mengorak senyum tipis kepadanya. Aku memandang, dan bergerak menghampirinya.
Dia mengukir senyum, lesung pipit menambah seri, manis seperti dulu.
‘Saya mohon maaf…, beri saya peluang ’
Semua orang layak mendapat kesempatan kedua, tetapi tidak untuk kesalahan yang sama. Biarlah luka berdarah tapi bukan di parut yang lama.
Adakah mendungkan berlalu? Biarlah masa yang menjawab.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 4

 

‘Baiklah awak, saya minta diri, maaf kiranya kedatangan saya tidak kena pada masanya atau mengganggu masa-masa berharga awak, terima kasih kawan sekelas’.

Sengaja aku tinggikan suara semasa menyebut 'kawan sekelas'. Bibir Hana bergerak-bergerak tetapi tiada kedengaran suara.

‘Jumpa lagi Dr. Zul, Insya Allah’.

Laju aku melangkah keluar dari rumah Hana.

Dahulu kita selalu berkongsi cerita.

Tapi kini kini kita hanya sebuah cerita, Cerita luka. Cerita duka. Cerita hampa. Cerita yang menumbuhkan kecewa.

Kamu bagi aku kini cuma sebahagian dari masa lalu yang tidak mahu lagi diingati. Dahulu sememangkan bersamamu saat yang  ku tunggu. Bersamamu dulu menguatkan. Tetapi kini mengingatimu amat menyakitkan. Pastinya menghancurkan jika kembali bertemu.

Itu masa lalu. Menjadi sejarah. Walapun sejarah kita sejarah luka tetapi ia amat bermakna. Sejarah bukan seni bernostalgia, tetapi ia adalah ibrah yang boleh ditarik ke masa sekarang untuk mempersiapkan masa depan yang lebih baik.

Toleh masa lalu kita, nescaya kita percaya masa depan kita. Renung sejenak ke belakang dan sambung titik-titik pengalaman hidup yang menjadi asam garam, rempah ratus, pahit manis dalam membentuk diri kita hari ini. Sesungguhnya masa lalu kita tidak pernah sia-sia walau ada masanya naik dan kadang-kadang merudum.

Tak mengapalah Hana, aku redha kerana aku tak pasti jalan keluarnya apa. Telah aku tempuhi perpisahan berkali-kali sebelum ini dan aku berjaya dan kali ini  juga aku yakin aku akan berjaya. Mudah-mudahan.

Aku dan Bazar Ramadan Pada Akhirnya 3


‘Jom ke café library, lepas tu kita siapkan assignment’ Dr.ABS’. Kataku kepada Hana sebaik kuliah petang itu berakhir.

Gadis ayu berbaju kurung biru. Sopan gadis melayu.

Hana gadis anggun menawan. Alam pun turut terpegun dengan keanggunannya. Sungguh!

Dari Jabatan Kimia UPM, melintasi Jabatan Biologi seterusnya Jabatan Biokimia  kami menapak berdua ke café.

Suasana kampus agak tenang, jumaat yang damai.

Sesudah minum kami naik ke library.

‘Esok jalan-jalan KL nak tak? Aku mencadangkan sebaik tugasan siap sempurna.

Hana mengangguk. ‘Jom balik dah petang ni.’

Tiga puluh minit  jarak masa dari library  balik ke kolej.

Sepanjang perjalanan banyak yang kami bicarakan.

Menyentuh soal belajar,

Kadang-kadang soal hati,

Soal masa depan bersama, cewahhh…

Soal kucing kat dewan makan kolej yang beranak 5 pun kami bincang tau.

Prihatin betul kami.

4 semester jalan ini kami rentasi bersama.

Terasa cukup bahagia. Bahagia adalah merasa cukup dengan apa yang ada.

Bukankah hidup ini bernafaskan kasih sayang, saling mencintai. Saling melengkapi.

Di laluan naik kolej siswi, pada senja yang hening itu aku berkata ‘Jika saya sudah memiliki awak, saya tidak perlukan apa-apa lagi dan hanya ada dua waktu di mana aku ingin bersamamu, sekarang dan selamanya.’

Hana tersenyum, paling manis aku rasakan.  Aku membalas senyuman gadis kolej dambaan hati, bakal suri hatiku. Hidupku.

Ye kehidupan ini sungguh ajaib dan luar biasa. Tuhan melimpahkan kebahagiaan kepada seseorang melalui pelbagai cara, rasa dan warna.

"Bagaimana kau mengeja 'cinta'? Tanya Piglet. "Kau tak perlu mengejanya...rasakan saja." Jawab Pooh.


Aku dan Bazar Ramadan Pada Sebelum Akhirnya 2

Ada hal yang boleh kita kawal, akan tetapi banyak perkara yang di luar kawalan kita.

Kehilangan amat pahit. Perpisahan adalah takdir. Tiga tahun membina faham bersama. Mungkin keegoan aku dan kepelbagaian emosi  dia, gadis soya meranapkan segala.

Perpisahan adalah takdir juga ujian. Ujian cinta adalah soal setia dan jujur. Jika setia dan jujur melebur apa lagi yang ada?

Cuti ‘study week’ kali ni cukup hambar. Pemergian gadis soya menghenyak rasa. Membakar dan membahang di jiwa. Pijar. Melumpuhkan seluruh raga.

Memasuki dewan peperiksaan dengan jiwa yang tiada rasa  mengundang kecewa di hari muka.  Empat mata pelajaran dengan keputusan ‘D’ dan satu gagal pelengkap derita, menerajang aku ke tembok sengsara. Aku termanggu.

Merenung jauh ke hadapan. Menarik nafas paling dalam lalu menghembus perlahan-lahan. Mat, dunia belum kiamat. Sampai bila engkau nak jadi begini?. Dia, gadis soya dah jauh pergi meninggalkan engkau. Apa lagi yang engkau harapkan? Dia dah bahagia dengan pilihan dia,  jalan hidup dia. Bagaimana dengan jalan hidupmu? Engkau jangan jadi bodoh!!!!!

Jangan menyerah, kesedihan pasti akan berakhir. Setiap detik dalam hidup adalah perjalanan, setiap perjalanan adalah pelajaran.

Kita pasti mengalami pahit getirnya perjalanan hidup. Tetapi kita tak boleh berhenti dan  tak boleh kehilangan impian dan cita-cita. Kembali semua ke garis  permulaan kita melangkah dulu.

Aku bangkit berdiri bersama azam yang mula bertunas, moga tumbuh membesar, dan subur. Tinggalkan cerita lama, bina semula yang lebih segar.

Kadang-kadang pilihan terbaik adalah menerima. Terima takdirNya yang Maha Mengetahui.

Lepaskan.

Ikhlaskan

Maafkan